PKMS beriadah di Pantai Tungku

PKMS beriadah di Pantai Tungku

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Khusairi Azman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Nov – Lebih 100 orang ahli dan keluarga Persatuan Kebajikan Melayu seMalaysia (PKMS) beriadah di Pantai Tungku dalam Acara Riadah PKMS 2015, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Cik Haznah binti Mohd Hashim yang kemudiannya telah merasmikan acara riadah persatuan itu.

Yang Di-Pertua PKMS, Haji Azaman bin Haji Sulaiman berkata, aktiviti itu diadakan sempena Sambutan Awal Tahun Hijrah 1436 dengan tujuan sebagai penghijrahan bagi persatuan itu kepada yang lebih baik dalam usaha untuk meneruskan kesinambungan PKMS di Negara Brunei Darussalam.

Katanya, antara objektif penganjurannya juga adalah untuk meneguhkan lagi hubungan silaturahim dan ukhuwah dalam kalangan ahli persatuan dan semua warga Malaysia serta keluarga masing-masing.

Beliau menjelaskan, pelbagai acara riadah sekeluarga telah dirancang untuk memeriahkan lagi suasana acara, untuk semua ahli dan warga Malaysia yang dijemput.

Ahli dan keluarga PKMS seronok bermain permainan boling kelapa.
Ahli dan keluarga PKMS seronok bermain permainan boling kelapa.
Haji Azaman menyampaikan cenderahati kepada Cik Haznah pada perasmian Aktiviti Riadah 2015.
Haji Azaman menyampaikan cenderahati kepada Cik Haznah pada perasmian Aktiviti Riadah 2015.
Pemenang peraduan memegang hadiah masing-masing.
Pemenang peraduan memegang hadiah masing-masing.

Haji Azaman seterusnya melahirkan harapan supaya acara itu dapat memberikan manfaat kepada semua untuk terus bersilaturahim dan menegakkan PKMS.

Ditanya mengenai atur cara majlis itu, beliau berkata, jawatankuasa penganjur acara itu telah menyediakan acara riadah untuk melibatkan penyertaan para ahli dan anak-anak mereka.

“Antara aktiviti pantai yang kami adakan termasuk permainan boling kelapa, tarik kalat, bola tampar, menunggang kuda dan bermain jet ski,” katanya.

Ujarnya lagi, sejak dihidupkan kembali, PKMS kini mempunyai seramai 50 orang ahli serta beberapa ahli seumur hidup.

Beliau seterusnya berharap kepada semua warga Malaysia berketurunan Melayu yang berada di Negara Brunei Darussalam untuk terus memberikan sokongan supaya persatuan itu dapat menggiatkan lagi aktiviti persatuan.

PKMS merupakan sebuah persatuan berkebajikan untuk para ahlinya bersama-sama dalam waktu suka dan duka.

ARTIKEL YANG SAMA