PKP adakan 50 kali khatam

PKP adakan 50 kali khatam

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 14 Jun – Bagi menyambut Sambutan Jubli Emas 50 tahun penubuhan Persatuan Kebajikan Perempuan (PKP), persatuan itu telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran 50 Kali Khatam yang berlangsung di Dewan Bandaran, dekat sini, Jumaat lalu.

Seramai 50 orang ahli PKP telah menamatkan pembacaan Al-Quran yang telah bermula sejak bulan Februari lalu dan telah khatam 30 juzuk pada bulan April dan Mei.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.

Sambutan Jubli Emas 50 tahun persatuan yang bertemakan “ PKP Segalanya Bermula Di sini” antara lain berhasrat untuk mengumpul dan menyatukan seramai mungkin ahli-ahlinya, selain itu juga dengan mengadakan majlis itu diharap semua warga PKP akan terus mengingati dan mengembalikan nostalgia setiap detik kenangan sepanjang menjadi ahli.

Di samping itu, melalui aktviti membaca ayat-ayat suci Al-Quran ini dihasratkan akan menjadi amalan harian ahli-ahli PKP dan seluruh kaum Muslimin.

Acara Khatam Al-Quran 50 kali Khatam sebagai acara kemuncak Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas 50 Tahun Penubuhan PKP.
Acara Khatam Al-Quran 50 kali Khatam sebagai acara kemuncak Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas 50 Tahun Penubuhan PKP.

Yang Di Pertua PKP, Hajah Kertini binti OKPSD Abang Haji Abu Hanifah memberitahu sepanjang penubuhan persatuan itu sejak 10 Januari 1965 sebagai pengasas Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam pada tahun 1985, dua daripada ahlinya telah menerima Anugerah Bakti Hijrah pada tahun 2007, dan seterusnya pada tahun 2012 seorang lagi ahlinya telah menerima Anugerah Bakti Hijrah.

PKP mempunyai ahli kebanyakannya di kalangan warga emas, bagaimanapun telah berusaha untuk mengetengahkan penglibatan kaum wanita melalui berpersatuan, dan kegiatan yang diaktifkan kebanyakannya merupakan bidang keagamaan, selain turut dilibatkan dengan kegiatan kemasyarakatan, pendidikan dan perekonomian.

Menurutnya lagi bersempena dengan ulangtahun ke-50 penubuhan PKP jawatankuasa kegiatan telah merangka beberapa aktiviti yang dijangka akan diadakan bermula dari bulan Jun ini hingga Mei tahun depan, antaranya bertadarus di Bulan Ramadhan rumah ke rumah dan kunjungan ke Istana Nurul Iman bersempena Sambutan Hari Raya Aidil Fitri.

Sementara itu pada 5 Jun lalu PKP telah mengadakan majlis membaca Surah Yasin, Bertahlil dan Solat Fardhu Asar berjemaah kemudian diakhiri dengan Doa Kesyukuran, manakala pada 7 Jun lalu telah mengadakan kejohanan boling sepuluh pin, selain merancang untuk membuat lawatan ke Thailand pada bulan September nanti dan seterusnya akan mengadakan Kursus Memperkasa Wanita Dalam Sumber Kewangan dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA