PKS: ASEAN perlu pemahaman sama

PKS: ASEAN perlu pemahaman sama

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) – Penyedia ewangan dan kerajaan-kerajaan ASEAN perlu mempunyai pemahaman yang sama dalam menyediakan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menurut wakil Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC), U Moe Kyaw.

Oleh kerana kemungkinan terdapat sedikit perbezaan dari segi terma dan peraturan yang diguna pakai oleh setiap penyedia kewangan, beliau berkata mungkin semua negara ASEAN boleh bersetuju untuk mempunyai sistem dua peringkat.

Peringkat pertama boleh jadi bagi setiap negara untuk melindungi terma dan peraturan mereka sendiri manakala peringkat kedua adalah untuk mereka menguruskan perkara yang perlu distandardkan termasuk menggalakkan sistem kewangan e-dagang dalam kalangan PKS.

“Perlu ada usaha terancang. Perniagaan itu sendiri merupakan satu peluang yang disokong oleh kerajaan masing-masing.

“Sebaik sahaja anda mempunyai kumpulan yang besar, semua orang akan mula menyertai dan tiada siapa yang mahu ketinggalan,” katanya kepada Bernama di luar Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-EU yang diadakan bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN Ke-47 (AEM).

Moe Kyaw dari Myanmar merupakan antara ahli panel semasa sesi pleno yang bertajuk ‘Membiayai Masa Depan ASEAN – Menggerakkan Kewangan Strategik Bagi Membantu PKS dan Pelaburan Jangka Panjang’.

Beliau berkata ASEAN telah dihubungi beberapa bank termasuk Standard Chartered dan CIMB untuk menawarkan dana bagi PKS ASEAN.