PKS digesa daftar harta intelek

PKS digesa daftar harta intelek

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Kalangan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digesa mengambil langkah bagi pendaftaran harta intelek (IP) masing-masing dalam usaha mempertingkatkan nilai jenama mereka.

Ketika membuat gesaan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Dzulkifli Mahmud berkata ini berikutan tahap kesedaran IP melibatkan aspek tanda dagangan, paten dan hak cipta masih rendah.

“Pada era ekonomi digital dan persaingan sengit masa kini, kita perlu menyedari bahawa IP adalah amat bernilai kerana melindungi hasil inovasi selain menyuntik nilai untuk syarikat. Ini (penting) termasuk bagi tujuan permohonan pembiayaan, eksport dan perjanjian perdagangan bebas.

“Ada PKS yang masih tidak melihat kepentingan melindungi IP kerana beranggapan kandungan atau asas produk itu tidak boleh ditiru atau dicuri oleh pihak lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Seminar Keberkesanan IP dan Strategi Pengurusan Cukai IP bagi Perspektif Kejayaan Global PKS di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata perlindungan IP itu penting khususnya ketika berdepan pertikaian yang memerlukan pemilik produk mengambil tindakan undang-undang.

Bagaimanapun, usaha mereka akan gagal jika terbukti tidak memiliki hak IP, tegasnya.

Malah, mengikut data Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), hanya sejumlah 16,075 permohonan perlindungan IP diterima daripada syarikat tempatan bagi tempoh 1986 sehingga September lepas.

“Daripada jumlah itu, hanya 3,608 permohonan diluluskan,” kata Dzulkifli.

Sebaliknya, bagi jenama asing di Malaysia, menyaksikan 54,789 daripada 133,368 permohonan diluluskan.

“Perbezaan ketara ini membuktikan ceteknya kesedaran terhadap perlindungan IP dalam kalangan syarikat Malaysia,” tegasnya. – Bernama