PKS diminta guna e-dagang

PKS diminta guna e-dagang

KUALA LUMPUR, 18 Jan – Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) digesa untuk menggunakan platform e-dagang bagi mengukuhkan eksport mereka.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, PKS tempatan perlu memanfaatkan pelbagai inisiatif yang sedia ada seperti e-Pembayaran, MYCyberSALE, e-Usahawan dan saluran etrade untuk menambah opsyen eksport mereka.

Katanya, platform e-dagang boleh meningkatkan perdagangan PKS daripada 20 sehingga 23 peratus menjelang 2020 berbanding 16 hingga 18 peratus sekarang ini.

“Tahun ini, kami telah menyediakan beberapa inisiatif untuk memastikan PKS dapat mengeksport lebih banyak produk,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran sulung persidangan e-dagang merentas sempadan di sini hari ini.

Platform e-dagang menjadi agenda dalam kedua-dua Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau, menandakan isyarat bahawa platform itu bakal menjadi alat untuk meningkatkan eksport.

Katanya, sebagai contoh, Bab 14 TPPA 12 negara yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) menyebut bahawa e-dagang merupakan perubatan terpenting bukan sahaja PKS di Malaysia tetapi juga untuk semua pihak yang terlibat dengan perjanjian itu.

Negara-negara anggota TPPA seperti AS, Australia, New Zealand, Kanada, Mexico, Peru, Chile, Brunei, Singapura, Jepun, Vietnam dan Malaysia membentuk hampir 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar dunia dan satu pertiga daripada perdagangan global.

“Oleh itu, PKS perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran perniagaan yang baharu dan menurut senario semasa apabila negara ini berkembang,” katanya.

Sementara itu, Mustapa hari ini menyaksikan pertukaran lima dokumen antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan etrade Online Marketplaces.

Antara pihak-pihak yang terlibat adalah Alibaba.com Singapore e-commerce Ptd Ltd, eBay International AG dan Amazon Asia-Pacific Holdings Ptd Ltd.

Program eTRADE telah diasaskan pada 1 Oktober 2014 dan menempatkan sebanyak 426 PKS tempatan yang menawarkan pelbagai produk termasuk farmaseutikal, automotif, kosmetik dan peralatan mandian. – Bernama