PKS perlu penuhi pasaran antarabangsa

PKS perlu penuhi pasaran antarabangsa

DONGGUAN, China, 30 Okt (Bernama) – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia perlu mempunyai kapasiti yang mencukupi bagi produk mereka untuk memenuhi pasaran luar negara, kata Naib Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Naim Mohamad.

Bercakap kepada Bernama di luar acara Ekspo Antarabangsa Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 Guangdong di sini, beliau berkata PKS yang mengambil bahagian pada ekspo tiga hari itu bukan sahaja mempromosikan produk mereka ke pasaran China, tetapi juga ke negara lain.

“Selain China, negara-negara lain yang berada di sini termasuk Australia, Kenya, Fiji, Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu. Kita harus mampu meneroka pasaran-pasaran ini dan menjadi negara perdagangan besar untuk meningkatkan pendapatan dan kemakmuran, di samping mencapai status negara maju,” katanya.

Naim berkata tahun lepas, beberapa PKS yang menyertai Ekspo itu tidak boleh memajukan lagi perniagaan mereka setelah gagal memenuhi kuantiti tempahan yang besar.

Bagaimanapun, beliau berkata memandangkan insentif berterusan oleh kerajaan dalam Bajet 2016 yang dibentangkan baru-baru ini, PKS perlu menggunakannya dengan baik dengan membeli mesin yang boleh membantu mempercepatkan pengeluaran.

“Penyertaan Malaysia kekal sebagai yang terbesar di ekspo peringkat antarabangsa ini. Oleh itu, kita tidak harus melepaskan peluang yang ada. Terdapat banyak permintaan bagi produk Malaysia, iaitu farmaseutikal, kosmetik, makanan dan Minuman,” katanya.

Ekspo yang diadakan buat kali kedua itu, bermula pada 29 Okt, menawarkan 1,400 gerai dari 71 negara dan wilayah.

Tahun lalu, terdapat hanya 38 buah negara. Pada tahun ini, delegasi Malaysia mengambil bahagian melibatkan kira-kira 300 gerai dan daripada jumlah itu, ada yang telah menyertai pada ekspo yang pertama kali diadakan. Kebanyakan pendatang baru adalah mereka yang mendengar cerita-cerita kejayaan daripada peserta tahun lepas.

Acara ini berdasarkan kepada Konsep Laluan Sutera Maritim Ke-21 yang diilhamkan oleh Presiden China Xi Jinping pada 2013 untuk meningkatkan lagi pelaburan pelbagai hala dan kerjasama perdagangan dengan Asia Tenggara.

ARTIKEL YANG SAMA