PKS rapatkan jurang ekonomi di ASEAN

PKS rapatkan jurang ekonomi di ASEAN

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) – Merapatkan jurang ekonomi dalam kalangan negara-negara ASEAN adalah suatu tanggungjawab yang sukar, tetapi penting dalam merealisasikan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), dan menumpukan kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh menjadi pemangkin berpotensi.

Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid berkata PKS merupakan tulang belakang kepada ekonomi, terutamanya di negara-negara ASEAN yang kurang membangun, berikutan ia menyediakan pekerjaan dan pendapatan pada tahap yang tinggi.

“Di peringkat ASEAN, merapatkan jurang pembangunan antara negara-negara anggota boleh dilakukan dengan memberi PKS akses yang lebih mudah kepada pembiayaan dan menghubungkan mereka kepada syarikat rantaian bekalan supaya mereka dapat mengembangkan perniagaan di dalam dan luar negara.

“Jika tidak, mereka akan hilang dalam pasaran bebas dan liberal, bukan sahaja AEC tetapi juga banyak perjanjian perdagangan bebas yang dimeterai oleh negara-negara anggota ASEAN,” katanya kepada Bernama.

Mohd Munir berkata dalam pelan pasca 2015 AEC, usaha merapatkan jurang pembangunan perlu diberi perhatian khusus jika komuniti melangkah jauh ke hadapan, yang boleh dilakukan dengan melihat kepada beberapa inisiatif dalam Kesatuan Eropah.

Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid.
Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid.

Menyedari keperluan merapatkan jurang pembangunan, ketua-ketua kerajaan ASEAN, semasa Sidang Kemuncak 2000, melancarkan Inisiatif bagi Integrasi ASEAN (IAI) untuk memacu integrasi ekonomi ahli-ahli baharu, iaitu Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.

Di samping itu, katanya negara anggota secara individu juga perlu serius melaksanakan langkah mengurangkan jurang pendapatan dalam ekonomi mereka dan tidak mengharapkan pihak lain melakukannya, atau menyalahkan negara lain kerana kegagalan mereka menyediakan penyelesaian untuk mengurangkan kemiskinan.

“Dengan AEC yang akan diwujudkan, ia mungkin mudah untuk menyalahkan ekonomi ASEAN yang lebih terbuka dan berintegrasi atas kegagalan dasar ekonomi domestik.

“Oligarki di negara-negara miskin, yang mula membangun, meraih faedah dahulu, dan tidak cenderung untuk menyebarkan kekayaan, pendapatan baharu mereka dan selalunya kuasa,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA