PKS tetap diberi sokongan

PKS tetap diberi sokongan

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mac – Pihak kerajaan sememangnya sudah berusaha untuk memberikan bantuan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui skim pinjaman kewangan yang mana bantuan itu bukan sahaja dari segi geran tetapi pinjaman yang perlu dibayar balik.

Namun begitu, sikap sesetengah individu yang telah mengambil kesempatan untuk tidak membayar balik pinjaman mereka adalah amat menyedihkan, jelas Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar (gambar) pada hari kelima persidangan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini.

“Perkara ini amat menyedihkan kerana perangai sesetengah individu berkenaan menyukarkan pihak kerajaan bagi memutarkan modal yang diperlukan bagi menjalankan skim kewangan untuk perusahaan tempatan yang benar-benar memerlukan bantuan,” jelasnya lagi ketika menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Zasia binti Sirin mengenai bantuan bagi PKS dan golongan wanita dalam meningkatkan bidang keusahawanan atau perniagaan yang diceburi.

Beliau berkata bahawa proses mengkaji semula keberkesanan program-program bantuan yang telah diperkenalkan terdahulu sedang dijalankan oleh Darussalam Enterprise (DARe) di mana ia bertujuan untuk menyediakan program bantuan bersesuaian dan menepati keperluan bagi menggalakkan perkembangan perusahaan tempatan.

“Program bantuan ini perlu dikemaskinikan dari segi proses, kriteria permohonan dan keberkesanannya. Program bantuan ini perlu juga telus dan dipantau supaya bantuan dapat digunakan untuk keperluan bisnes sahaja.”

pg08_160311_a

Yang Berhormat Pehin berkata lagi, “Di antara penemuan terbaru, kelulusan skim kewangan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dahulu telah diluluskan oleh pegawai-pegawai kerajaan yang tidak memahami analisis komersial daripada pihak bank yang menyediakan kemudahan pinjaman.

“Kebanyakan tunggakan adalah berpunca daripada pinjaman yang diluluskan di mana pihak kerajaan telah overrule keputusan pihak bank yang sebenarnya tidak meluluskan pinjaman berkenaan.”

Kerja-kerja kajian semula itu, ulas Yang Berhormat Pehin sedang diterajui oleh pihak swasta termasuk Ahli Lembaga Urus Tadbir DARe dan pihak bank yang mempunyai kepakaran analisis kewangan.

“Dalam pada ini, saya juga telah mengambil kesempatan bersesi muzakarah dengan beberapa usahawan online semalam di mana mereka bersetuju dengan hala tuju program bantuan pinjaman. Pihak kerajaan juga sedang meneliti beberapa jalan untuk membantu SME melalui pelaburan daripada venture capitalists dan penubuhan bank khas untuk SME.”

Terdahulu dari itu, Yang Berhormat Pehin mengulas mengenai bantuan kepada usahawan wanita secara khusus di mana beliau berkata bahawa 81 peratus iaitu 13 orang ahli daripada ahli lembaga urus tadbir DARe terdiri daripada sektor swasta di mana 31 peratus atau lima orang ahli daripadanya terdiri daripada golongan wanita.

Golongan wanita yang dilantik dalam Lembaga DARe itu, adalah di antara ahli-ahli perniagaan yang berjaya di Negara Brunei Darussalam di mana pengalaman dan kepakaran mereka dapat memberi panduan kepada DARe dalam merangka program yang boleh memperkasa peniaga tempatan termasuk pengusaha wanita melalui sesi-sesi fokus yang akan diadakan dalam masa yang terdekat.

ARTIKEL YANG SAMA