PKS utarakan pelbagai isu

PKS utarakan pelbagai isu

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Pelbagai isu telah diutarakan oleh wakil-wakil perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk mengenai pembayaran lewat, proses yang panjang, serta pembayaran secara langsung kepada subkontraktor dalam perbincangan Darussalam Enterprise (DARe) yang berlangsung di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggerek Desa, hari ini.

Antara yang hadir bagi membincangkan isu-isu yang diutarakan ialah Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Awang

Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny, Setiausaha Tetap (Perindustrian) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Adi Shamsul bin Haji Sabli dan Setiausaha Tetap (Prestasi) di Kementerian Kewangan, Awang Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman yang juga Pemangku Jurukira Agung, serta para ahli PKS.

Dalam perbincangan itu, salah seorang wakil perusahaan yang hadir, Sheikh Jamaluddin dari Syarikat Seri Sentosa telah membangkitkan mengenai bayaran, yang menurutnya, bayaran mereka terima dari April hingga Ogos adalah lancar namun bermula bulan Oktober hingga Mac, tiada pembayaran langsung mereka terima daripada pihak kerajaan.

Katanya, jika ini berlaku kepada PKS lain yang tidak mempunyai wang poket berlebihan sudah setentunya akan mengalami kesusahan.

Pegawai-pegawai kanan kerajaan ketika menjelaskan pelbagai isu yang diutarakan ketika perbincangan yang berlangsung di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggerek Desa.
Pegawai-pegawai kanan kerajaan ketika menjelaskan pelbagai isu yang diutarakan ketika perbincangan yang berlangsung di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggerek Desa.
Awang Ahmaddin ketika menjawab isu-isu yang dibangkitkan.
Awang Ahmaddin ketika menjawab isu-isu yang dibangkitkan.
Salah seorang daripada PKS yang mengutarakan beberapa isu di perbincangan berkenaan.
Salah seorang daripada PKS yang mengutarakan beberapa isu di perbincangan berkenaan.

Dalam menjawab perkara berkenaan, Awang Ahmaddin menjelaskan bahawa mereka perlu ada pesanan belian (purchase order), bermakna wang yang dituntut adalah selamat untuk bayaran.

Perkara yang kedua ialah jika para PKS mendapat ‘invoice’, mereka perlu memastikan ada terdapat slip pemberitahuan (notification slip) dari kementerian atau jabatan yang menjelaskan bahawa mereka telah menerima ‘invoice’ para PKS untuk diproses.

“Dua perkara ini adalah penting kerana tanpa pesanan belian (purchase order), akan terjadi pembayaran yang lambat seperti kes pembayaran April hingga Ogos yang konsisten, manakala bulan Oktober hingga Mac tiada bayaran langsung,” tekannya.

Turut disentuh dalam perbincangan itu adalah mengenai proses pembayaran yang sangat panjang sebelum ia sampai ke Kementerian Kewangan sehingga ada terdapat pengesahan yang memerlukan lapan tandatangan untuk tuntutan berkenaan diperakui/disahkan.

Menjawab isu ini, Awang Ahmaddin menjelaskan, “Biasanya apabila anda menyerahkan sijil, kami menganggapnya sebagai ‘invoice’.

Dengan sijil itu, kami membayar mengikut jumlah yang dinyatakan di dalam sijil tersebut.

“Oleh itu, anda perlu meminta slip pemberitahuan (notification slip). Ini kerana di dalam Tahfiz, kami mempunyai ‘invoice tracking’. Sebaik sahaja mereka memasukkan nombor ‘invoice’ ke dalam ‘invoice tracking’, sistem berkenaan akan memberi ‘notification slip’. ‘Notification slip’ berkenaan akan menjadi tiket anda bagi sebarang pertanyaan, sebagai bukti penyerahan,” jelasnya.

Isu yang lain diutarakan adalah mengenai adakah sub-kontraktor mempunyai hak untuk mendapat pembayaran secara langsung daripada kerajaan selain membayar kepada kontraktor utama.

Bagi menjawab perkara berkenaan, salah seorang pegawai kerajaan telah menjelaskan bahawa sub-kontraktor boleh menerima bayaran secara langsung daripada kerajaan melalui Jabatan Perbendaharaan jika kontraktor utama ada menulis surat yang menunjukkan bahawa pihak mereka tidak ada bantahan mengenai pembayaran secara langsung kepada sub-kontraktor.

Para PKS yang mempunyai sebarang pertanyaan yang berkaitan, bolehlah menghubungi talian 2383444 bagi Jabatan Perbendaharaan, dan 8363442 bagi DARe atau e-mel ke alamat dare@ie.gov.bn

ARTIKEL YANG SAMA