Plan Batu FC kembali bangkit

Plan Batu FC kembali bangkit

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Feb – Plan Batu FC perlu menang dengan perbezaan lapan gol ke atas lawan terakhirnya di peringkat kumpulan iaitu Kilugus FC untuk mara ke pusingan kedua Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara 2015 dan itulah yang berjaya mereka lakukan di sebalik anggapan keputusan itu mustahil dapat dicapai.

Berkat serangan yang menjadi dan pertahanan yang kental, perkara yang dilihat mustahil itu berjaya dicapai apabila mereka mencatat kemenangan 8-0 ke atas Kilugus FC sekaligus berjaya menempah tiket ke pusingan kedua selaku naib juara Kumpulan C.

Muncul wira menjaringkan gol kelapan Plan Batu FC pada minit ke-87 perlawanan ialah Mohd Amirul bin Ahad, yang turut menjaringkan gol ketiga pasukannya pada minit ke-45.

Kedudukan separuh masa pertama perlawanan di Kompleks Sukan Sungai Kebun itu adalah 4-0 hasil jaringan Mohd Yussrin bin Haji Liman pada minit ke-11, Nor Adli Zhafri bin Haji Norshamli pada minit ke-32, Mohd Amirul pada minit ke-45 dan Pengiran Safuandi bin Pengiran Haji Matahir pada minit ke-45+2.

Plan Batu FC berjaya menewaskan Kilugus FC untuk mara ke pusingan kedua.
Plan Batu FC berjaya menewaskan Kilugus FC untuk mara ke pusingan kedua.

Plan Batu FC memperlihatkan kesungguhannya untuk mencapai lapan jaringan dengan ledakan gol kelimanya hanya tiga minit selepas rehat yang dijaringkan oleh Shahroni bin Haji Bungsu.

Haji Mohd Azizi bin Haji Ahmad menjadikan kedudukan 6-0 pada minit ke-60 disusuli dengan jaringan ketujuh Plan Batu FC pada minit ke-78 oleh Mohd Nurul Izwan bin Roslan.

Jaringan ketujuh itu menyuntik semangat pemain Plan Batu FC yang melihat sasaran mereka hampir tercapai dan ketika keadaan semakin terdesak dengan masa perlawanan menghampiri penghujungnya, Mohd Amirul menyebarkan kelegaan kepada rakan dan pihak pengurusan pasukan dengan ledakan jaringannya tiga minit sebelum perlawanan tamat.

Kemenangan 8-0 Plan Batu FC itu menyebabkan AKSE Bersatu berputih mata kerana hanya ditewaskan de    ngan satu perbezaan gol sahaja selepas kedua-dua pasukan masing-masing menamatkan kempen peringkat kumpulan mereka dengan mengumpul 9 mata.

Dengan penghasilan lapan gol tanpa balas itu Plan Batu FC mencatat 14 jaringan dan 8 bolos untuk catatan +6 perbezaan gol bagi memintas AKSE Bersatu yang mencatat 16 jaringan dan 11 bolos untuk catatan +5 perbezaan gol.

Plan Batu FC mengiringi juara Kumpulan C, DSP United yang sudah awal mara dengan catatan 15 mata maksimum dari lima kemenangan.