Plan C FT, BIBD FT melangkah ke suku akhir Piala SC

Plan C FT, BIBD FT melangkah ke suku akhir Piala SC

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 April – Plan C FT dan BIBD FT menjadi dua pasukan pertama mara ke peringkat suku akhir Piala Standard Chartered (SC Cup) 2016 selepas masing-masing menjuarai Kumpulan A dan Kumpulan C.

Lapan perlawanan peringkat kumpulan berlangsung malam tadi selepas dirasmikan oleh Pemangku Pengarah Belia dan Pembangunan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Rosmadee bin Haji Mohd Daud. Beliau diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif SCB Brunei, Rino Donosepoetro.

Perlawanan terhebat malam tadi berlaku pada perlawanan kelapan dan terakhir yang menyaksikan BIBD FT bangkit selepas ketinggalan 0-1 untuk menang 2-1 ke atas pasukan pilihan Kumpulan C, Politeknik Brunei, yang diperkuat oleh dua orang pemain juara Liga Futsal Brunei (BFL) 2015, Kota Junior.

Pada perlawanan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu, Awangku Anaqi Sufi bin Pengiran Omar Baqi yang mewakili Negara Brunei Darussalam pada Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018 Zon Asia menentang Chinese Taipei tahun lalu muncul wira BIBD FT dengan ledakan dua gol peribadi.

Aksi cemas di pintu gol BIBD FT ketika diasak oleh Politeknik Brunei.
Aksi cemas di pintu gol BIBD FT ketika diasak oleh Politeknik Brunei.

Gol pertamanya sudah cukup hebat menerusi rembatan jarak jauh kaki kiri dari kawasan sendiri pada separuh masa pertama, namun gol keduanya hanya seminit sebelum separuh masa kedua berakhir adalah lebih hebat lagi.

Dia yang menerima hantaran lambung penjaga golnya ketika berlari di sayap kiri lawan sambil dikawal rapat pemain Politeknik Brunei di bahu kanannya sempat melakukan sepakan voli kencang kaki kiri untuk menewaskan penjaga gol lawan.

Politeknik Brunei yang menang 2-0 ke atas Padian FT pada perlawanan ketiga malam tadi hanya perlu seri dengan BIBD FT untuk mara selepas BIBD FT sekadar seri tanpa jaringan dengan Padian FT pada perlawanan keenam.

Plan C FT pula muncul juara Kumpulan A selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Royal Brunei (RB) pada perlawanan kelima malam tadi dan kemudiannya melakar kemenangan dengan jaringan sama ke atas JBS FT pada perlawanan ketujuh. RB pula sebelum itu menang tipis 1-0 ke atas JBS FT pada perlawanan kedua.

Dua lagi perlawanan malam tadi dalam Kumpulan B menyaksikan SCB FT seri 0-0 dengan BruAnfield FT semasa aksi pembukaan dan BruAnfield FT menang 2-1 ke atas BruLiv Syabab FT pada perlawanan keempat.

ARTIKEL YANG SAMA