Plantronics buka idea kerjasama

Plantronics buka idea kerjasama

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) – Plantronics Inc dari Amerika Syarikat (AS) terbuka kepada idea untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat Malaysia bagi mengeluarkan produk komunikasi audio, kata Naib Presiden Bahagian Pemasaran Produk Perusahaannya, Christopher Thompson.

Syarikat itu sentiasa mencari peluang untuk menubuhkan kilang baharu bagi manfaat syarikat itu di pentas global.

“Ketika ini kebanyakan produk kami dihasilkan di Mexico dan China,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan set kepala gabungan komunikasi stereo tanpa wayar dengan pembatalan bunyi bising untuk ruang kerja pintar di sini hari ini.

Menurut Thompson, Asia menyumbang satu perempat kepada pendapatan kumpulan itu.

“Asia merupakan pasaran yang maju di mana teknologi baharu diperkenalkan dengan cepat,” katanya katanya sambil menambah bahawa Malaysia, Australia, Singapura merupakan negara yang paling awal dan cepat menerima sesuatu teknologi.

Sementara itu, Pengurus Kanan Plantronics bagi Negara Malaysia dan Indonesia , Ching Lai Kwan berkata syarikat itu merancang melahirkan lebih ramai penjual semula bagi mengembangkan kehadiran di pasaran tempatan

“Walaupun sentimen pasaran agak perlahan disebabkan pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST), ditambah pula dengan turun naik mata wang yang memberikan kesan kepada corak pembelian, kami akan terus meningkatkan kesedaran di kalangan pengguna untuk membeli produk yang berkualiti dan tahan lebih lama, termasuk bekerjasama dengan penjual semula untuk memasarkan produk kami,” kata Ching.

Plantronics Malaysia mempunyai lebih daripada 50 penjual semula dan lima pengedar di seluruh negara.

Set kepala yang baru dilancarkan ini, memberikan keselesaan sepanjang hari dan mempunyai teknologi sensor pintar, isyarat audio, audio jalur lebar serta bunyi stereo hi-fi untuk pengalaman panggilan/muzik yang unggul.

ARTIKEL YANG SAMA