Platform perdagangan dua hala

Platform perdagangan dua hala

Oleh Hakim Hayat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Pameran tiga hari yang mengetengahkan produk dan persembahan kebudayaan Indonesia yang diadakan sempena Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Republik Indonesia ke-70 dirasmikan hari ini di The Mall, Gadong.

Perasmian pameran itu telah disempurnakan oleh Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar selaku tetamu kehormat di samping Duta Besar Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nurul Qomar.

Puan Yang Terutama semasa menyampaikan ucapan berkata beliau yakin bahawa hubungan dua hala di antara kedua-dua negara menjadi semakin rapat dan kukuh dalam semua bidang dari semasa ke semasa.

Tambah beliau, mesyuarat perniagaan yang diadakan di antara kira-kira 160 pengusaha dari kedua-dua buah negara, baru-baru ini, untuk meneroka lebih banyak peluang-peluang perdagangan dan pelaburan telah membuka jalan untuk meningkatkan kerjasama.

Yang Berhormat Pehin Haji Yahya ketika merasmikan pameran itu.
Yang Berhormat Pehin Haji Yahya ketika merasmikan pameran itu.
Antara produk yang dipamerkan di pameran sempena ulang tahun kemerdekaan Republik Indonesia ke-70.
Antara produk yang dipamerkan di pameran sempena ulang tahun kemerdekaan Republik Indonesia ke-70.

Pameran itu diharap akan menjadi platform bagi peluang rangkaian dan perniagaan untuk meningkatkan jumlah perdagangan dua hala di antara kedua-dua buah negara, ujar Puan Yang Terutama.

Sebanyak 20 pondok mempamerkan pelbagai produk dari rantau-rantau berbeza di Indonesia dalam pameran anjuran Kedutaan Republik Indonesia berkenaan.

Pameran yang diadakan buat tahun ketiga berturut-turut itu juga mengetengahkan hasil-hasil kraf tangan seperti patung batik yang dihasilkan oleh ahli-ahli Cinderella Indonesia Centre, iaitu pusat perlindungan perempuan dan kanak-kanak.

Sementara itu, persembahan tarian pula akan mengetengahkan kekayaan budaya wilayah-wilayah Indonesia seperti Kalimantan.

ARTIKEL YANG SAMA