Platform perkongsian undang-undang

Platform perkongsian undang-undang

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Delegasi-delegasi Pejabat Peguam Negara dari tiga buah negara berhimpun di Singapura bagi menghadiri Acara Pejabat Peguam Negara Brunei Darussalam, Malaysia dan Singapura ke-7 yang berakhir hari ini.

Mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam ke acara yang dihoskan oleh Pejabat Peguam Negara Singapura itu ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati binti POKSDSP Haji Mohd Salleh.

Sementara itu, delegasi dari Malaysia telah diketuai oleh Peguam Negara, Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohamed Apandi bin Haji Ali dan dari Singapura diketuai oleh Peguam Negara V. K. Rajah SC, manakala itu, Peguam Negara Kesatuan Myanmar turut menghadiri mesyuarat itu sebagai pemerhati.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, semasa acara berkenaan, ucaptama telah disampaikan oleh Menteri Kanan Kerajaan, Kementerian Undang-undang dan Kementerian Pendidikan Singapura, Puan Yang Terutama Indranee Rajah SC, yang antara lain menekankan walaupun ketiga-tiga buah negara ini berkongsi warisan undang-undang yang sama yang berasaskan pada undang-undang English Common, sistem undang-undang di setiap negara telah berkembang mengikut keperluan dan pembangunan.

Puan Yang Terutama juga mengiktiraf kepentingan mendukung kedaulatan bukan sahaja dalam negara tetapi juga dalam konteks dua hala, pelbagai hala dan serantau yang semakin penting.

Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati semasa sesi perkongsian undang-undang.
Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati semasa sesi perkongsian undang-undang.
Gambar ramai delegasi pejabat peguam negara dari Brunei, Malaysia dan Singapura serta Myanmar sebagai pemerhati.
Gambar ramai delegasi pejabat peguam negara dari Brunei, Malaysia dan Singapura serta Myanmar sebagai pemerhati.

Oleh itu, katanya lagi, acara-acara seperti perhimpunan tiga buah pejabat peguam negara dari tiga buah negara ini berfungsi sebagai platform yang baik bagi penglibatan mengenai perkembangan-perkembangan terkini dalam undang-undang dan berkongsi pengalaman dalam di antara ketiga-tiga pejabat peguam negara.

Beliau seterusnya turut menekankan mengenai kepentingan penumpuan undang-undang, yang menurut beliau, tatkala perniagaan-perniagaan berkembang dan merentas sempadan, penumpuan dan pengharmonian undang-undang adalah sangat penting.

Dalam hal ini, Puan Yang Terutama mengongsikan mengenai pelan Singapura untuk menganjurkan acara-acara bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penumpuan dan pengharmonian serta inisiatif-inisiatif yang sedang dilaksanakan dalam fora antarabangsa.

Menurut kenyataan itu lagi, pada acara berkenaan peguam negara dari ketiga-tiga buah negara turut mengongsikan pandangan mereka mengenai cabaran-cabaran dan pengalaman sebagai peguam negara dan acara itu juga mengiktiraf peranan pegawai-pegawai dalam memberikan khidmat undang-undang kepada kementerian-kementerian dan jabatan.

Penceramah-penceramah yang dipilih dari ketiga-tiga negara juga membincangkan mengenai topik-topik berkaitan undang-undang berkepentingan bersama.

Acara itu juga diisi dengan perbincangan-perbincangan mengenai kepentingan bersama seperti ‘Unmanned Aircraft – The Dawn of a Drone Era’; ‘Developments in Case Law and Legislation’; ‘Convergence of Commercial Laws’; ‘Investor State Dispute Settlements between Developing Countries: Reflections on ASEAN Comprehensive Investment Agreement and Future Free Trade Agreements’; dan ‘Freedom of Expression and Sedition: Need to Maintain Sedition Laws’.

ARTIKEL YANG SAMA