Platform semai minat dunia kraf tangan

KUALA LUMPUR – Sejak ditubuhkan pada 1979, Perbadanan Kemajuan Kraf tangan Malaysia (Kraf tangan Malaysia) tidak pernah ‘goyah’ dalam mengatur langkah untuk terus membangun dan mengangkat martabat industri kraf tempatan ke persada dunia.

Tidak lagi dikenali sebagai ‘perusahaan kampung’, anjakan paradigma yang digerakkan agensi ini bukan sahaja memperlihatkan warisan nenek moyang disuntik segar bahkan menjadikannya sebagai alternatif penting penjanaan ekonomi negara. Ini terbukti apabila nilai jualan perusahaan kraf tangan melonjak secara drastik daripada RM140 juta pada tahun 2011 kepada lebih RM400 juta pada Oktober 2016.

Biarpun begitu, timbul persoalan mampukah kegemilangan warisan ini diteruskan berikutan kebanyakan pengusahanya semakin berusia dengan ada antara penggiat utama sudah pun meninggal dunia.

Sesuatu yang tidak dapat dielakkan, agensi ini mula dilanda kebimbangan selepas 38 tahun memperkasakan industri kraf apabila tidak ramai generasi muda berminat menceburi bidang kraf.

Masa depan industri kraf

“Apa yang merisaukan kami (Kraf tangan Malaysia) adalah generasi pelapis yang menceburi bidang ini tidak ramai sedangkan tukang kraf sedia ada sudah agak berumur dan ada yang meninggal dunia.

Demonstrasi pembuatan sulaman tekad antara aktiviti yang akan diadakan sepanjang Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 pada 23 hingga 26 November ini di Dataran Putrajaya, Presint 3. – Bernama

“Sebolehnya, kita tidak mahu kemahiran tukang kraf ini tidak diwarisi kerana ia satu kerugian buat negara,” kata Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Kraf tangan Malaysia Abdul Manan Ismail ketika ditemui di Program Liputan Media Sempena Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 (KLICF 2017) baru-baru ini.

Kebimbangan ini kian memuncak apabila hasrat agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia untuk melahirkan lebih ramai lagi generasi pelapis menerusi kewujudan Institut Kraf Negara (IKN) turut berhadapan cabaran dalam merealisasikan misi berkenaan.

Walhal, IKN di bawah pengemudi Kraf tangan Malaysia ini telah banyak menawarkan pelbagai galakan dan insentif kepada para pelatihnya sebagai langkah memancing minat mereka untuk meneruskan legasi warisan ini pada masa hadapan.

“Walaupun kita ada pelatih daripada institut kraf, tetapi ada yang tidak balik pada industri. Contohnya, pelatih ini ada kemahiran menenun tetapi apabila habis belajar, mereka sudah tidak mahu menenun lagi. Sayanglah, kerana kebolehan sudah ada.”

“Paling mengejutkan, ada yang jadi kerani, cikgu sekolah mahupun jurutol sebaik tamat belajar di IKN. Jadi, sia-sialah pembelajaran mereka sedangkan sepatutnya bilangan usahawan kraf bertambah tetapi ia semakin berkurangan dari hari ke hari,” katanya.

Ada permintaan

Buat masa ini, jumlah usahawan kraf yang berdaftar dengan Kraf tangan Malaysia hanyalah 5,831 orang merangkumi lima bidang kraf iaitu tekstil sebanyak 1,920 orang, hasil rimba (2,127), tanah (233), logam (734) manakala aneka kraf (817).

Bagaimanapun, jumlah ini tidak begitu memberangsangkan apatah lagi terdapat cabang kraf tertentu yang semakin tenat dan memerlukan perancangan sewajarnya.

“Bukan semua bidang kraf berhadapan masalah ini (ancaman pupus). Industri batik misalnya, tidak ada masalah kerana penglibatan generasi muda dalam bidang ini sangat menggalakkan. “Yang menjadi kerisauan kami adalah bidang anyaman, tenunan dan tembaga kerana tidak ramai pelapis. Perusahaan masih ada cuma ia agak suam-suam kuku.

“Malah, tenaga pengajar anyaman pandan mengkuang di Kraf tangan Malaysia pun ramai sudah pencen dan ada yang meninggal dunia,” katanya. Situasi ini tidak boleh dipandang ringan apatah lagi anyaman misalnya, adalah seni kraf sejagat Malaysia warisan nenek moyang yang diwarisi sejak 300 tahun lampau dan dianggap seni kraf yang unik di rantau Asia.

Jadi, sayanglah kalau ia tidak dipertahankan sedangkan permintaan produk kraf sentiasa ada. Malah, boleh diperkembangkan dengan rekaan baharu berbentuk hiliran yang boleh dihasilkan daripada anyaman ini.

KLICF 2017 yang memasuki tahun ketiga penganjurannya tahun ini bakal berlangsung selama empat hari hingga 26 November ini di Dataran Putrajaya, Presint 3. – Bernama
Para pelancong asing melihat keunikan rekaan kain batik pada Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur 2017. – Bernama

KLICF 2017 

“Satu-satunya tempat yang membuat produk anyaman kipas mengkuang hanyalah di Terengganu. Kita sedia maklum, majoriti besar proses anyaman adalah menggunakan tangan sepenuhnya.”

“Jadi, kapasiti yang dapat dihasilkan mereka tidaklah terlalu banyak,” katanya. Tidak tahu apa puncanya, Abdul Manan berkata kurangnya minat generasi muda untuk menjadikan industri kraf sebagai kerjaya mungkin disebabkan proses pembuatannya yang agak rumit.

Justeru, pelbagai langkah pragmatik digerakkan Kraf tangan Malaysia seperti skim inkubator yang menyediakan bengkel untuk disewa atas kadar minimum, bantuan mesin, nasihat pemasaran, rekaan terbaharu bagi menarik minat pelajar IKN untuk menjadikan ia sebagai kerjaya.

Selain didedahkan dengan pelbagai jenis pameran dan promosi kraf sama ada dalam mahupun luar negara sepertimana Program KLICF 2017 yang bakal berlangsung selama empat hari bermula 23 hingga 26 November ini di Dataran Putrajaya, Presint 3.

KLICF 2017 yang memasuki kali ketiga penganjurannya adalah inisiatif  Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia menerusi Kraf tangan Malaysia dalam usaha menyediakan platform perniagaan bertaraf antarabangsa kepada usahawan kraf tempatan dan luar negara.

“Ada generasi muda tidak mahu terlibat dalam industri kraf kerana risau sama ada bidang ini mampu menjamin pendapatan mereka atau sebaliknya.

“Mentaliti ini harus diubah dan lihat sendiri sepanjang berlangsungnya KLICF bagaimana usahawan kraf tempatan mahupun global boleh menjana pendapatan lumayan dalam bidang warisan,” katanya.

Mengapa Putrajaya?

??????? Festival ini juga sebagai platform mempertemukan usahawan kraf Malaysia serta luar negara untuk bertukar idea, pengetahuan dan maklumat mengenai bidang kreatif ini selain peluang menerokai pasaran baharu di peringkat global.

Justeru, Kraf tangan Malaysia menyasarkan penyertaan 442 usahawan terdiri daripada 250 pengusaha tempatan dan 192 usahawan antarabangsa dari 38 buah negara di KLICF 2017.

Antara negara dijangka terlibat adalah Bhutan, China, Nepal, Bosnia Herzegovina, Mexico, Venezuela, Maghribi, Mesir dan India.

Menurut Abdul Manan, selain memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai potensi dunia kraf, festival ini juga menjanjikan pengalaman menarik buat pencinta kraf. Tidak perlu berbelanja besar untuk pergi ke setiap negara berkenaan, pelbagai keunikan produk kraf boleh didapati di KLICF 2017.

“Kami sasarkan 60,000 pengunjung dan jualan sebanyak RM7 juta semasa KLICF 2017. Tahun ini terpaksa dibuat di Putrajaya disebabkan keadaan sekitar Kompleks Kraf, Jalan Conlay, sesak dengan projek pembinaan,” katanya. – Bernama