Platform tingkat hubungan Msia-Kazakhstan

Platform tingkat hubungan Msia-Kazakhstan

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Astana EXPO 2017 akan menyediakan platform untuk Malaysia dan Kazakhstan meningkatkan lagi hubungan dua hala, terutama dalam dagangan, yang bernilai AS$100 juta pada 2015.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili berkata ekspo itu akan menyediakan prospek besar untuk penggiat industri Malaysia, termasuk perusahaan kecil dan sederhana, untuk mengenal pasti pasaran baharu eksport bagi produk masing-masing, terutama di Asia Tengah.

Beliau berkata 50 firma dan agensi tempatan dari kalangan terbaik dalam industri akan mempamerkan inovasi, amalan terbaik dan keupayaan Malaysia dalam bidang tenaga dan teknologi hijau di Astana EXPO 2017, bertemakan Tenaga Masa Depan dari 10 Jun hingga 10 September 2017.

Pameran antarabangsa itu yang dikendalikan dan diselia oleh Biro Pameran Antarabangsa, dianjurkan oleh Kerajaan Kazakhstan di ibu negaranya Astana.

Setakat ini, ekspo itu telah menjangkaui sasarannya untuk memperoleh penyertaan 100 negara, di samping menyasarkan lima juta lawatan sepanjang pameran selama tiga bulan tersebut.

Dr. Maximus dalam satu kenyataan hari ini berkata menerusi penyertaan pada ekspo itu, Malaysia akan menjadi sebahagian daripada dialog antarabangsa mengenai keperluan untuk menggunakan sumber tenaga dengan lebih cekap bagi mengurangkan kerosakan alam sekitar dan demi memastikan keselamatan tenaga.

Beliau berkata selain penyertaan agensi kerajaan utama dan GLC, kementerian akan memilih peserta tempatan di Pavilion Malaysia pada ekspo tersebut berdasarkan kekuatan mereka dalam bidang tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga dan pemuliharaan tenaga.

“Tema Pavilion Malaysia ‘Menjana Pertumbuhan Hijau’, mencerminkan tema utama ekspo, iaitu ‘Tenaga Masa Depan’ serta akan menonjolkan model hijau, dasar dan aplikasi inovatif yang telah kita terima pakai bagi mencapai matlamat mencapai pembangunan mampan menjelang 2020,” kata Dr Maximus.

KeTTHA sebagai kementerian utama manakala Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) sebagai agensi pelaksana, akan mengendalikan penyertaan Malaysia melalui Pavilion Malaysia.

Pavilion Malaysia, seluas 727 meter persegi, terletak dalam tapak ekspo serba futuristik seluas 25 hektar yang dibina berhampiran pusat bandar raya Astana.

Beberapa aktiviti akan diadakan sepanjang tempoh ekspo itu.

Tiga segmen akan disediakan di Pavilion Malaysia, iaitu Membekalkan Tenaga Negara, Transformasi Nasional dan Galeri Interaktif.

“Malaysia sedang memacu agenda pengurangan karbon dan perubahan iklim melalui teknologi tenaga futuristik dan hijau sebagai pemacu teras, termasuk solar dan biomass, amalan kecekapan tenaga, mobiliti elektrik, bandar-bandar rendah karbon, bangunan hijau, grid pintar dan teknologi ICT,” kata Dr. Maximus.

Memandangkan ekspo tersebut berlangsung semasa sambutan 60 tahun kemerdekaan Malaysia tahun depan, Pavilion ini juga akan memaparkan transformasi negara dalam sektor tenaga, termasuk industri minyak dan gas, sepanjang dekad-dekad tersebut.

Para pengunjung turut dapat menikmati pengalaman budaya dan masakan Malaysia yang unik, yang akan menjadi antara daya tarikan utama di Pavilion Malaysia untuk menarik orang ramai melawat Malaysia.

“Dalam bidang tenaga hijau pula, Kazakhstan sebagai antara pengeluar minyak dan gas terbesar dunia, mempunyai sasaran untuk memenuhi 50 peratus daripada keperluan tenaganya daripada sumber yang boleh baharu menjelang 2050.

Untuk itu, terdapat beberapa bidang dan kepakaran yang boleh ditawarkan oleh Malaysia, termasuk dalam perdagangan dan perkongsian pintar.

“Malah, kerjasama itu sudah pun bermula. Pada April tahun ini, surat hasrat telah ditandatangani antara Astana EXPO 2017 National Company dan GreenTech Malaysia dalam kerjasama untuk menubuhkan pusat teknologi hijau di Astana,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA