Platform tingkat syiar dakwah

Platform tingkat syiar dakwah

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Sekolah Menengah Sultan Hassan (SMSH), Temburong dan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMRIPAD) muncul juara dalam Pertandingan Nasyid dan Dakwah ke-29 yang berlangsung hari ini, di Dewan Serba guna Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna (SMPAPHM), Lambak Kanan.

Kedua-dua buah sekolah berjaya menewaskan pesaing lain apabila memperoleh markah tertinggi yang mana SMSH mendapat 83.75 peratus dalam Kategori Nasyid dan SUAMRIPAD mendapat 84.25 peratus dalam Kategori Dakwah.

Tempat kedua dan ketiga dalam Kategori Dakwah masing-masing dirangkul oleh Ma’had Islam Brunei, Tutong (81.25 peratus) dan Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien (SOAS) dengan markah 78.5 peratus.

Sementara itu, Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI) dengan markah 82.75 peratus dan SMPAPHM (82.5 peratus) masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga bagi Kategori Nasyid.

Dalam pertandingan itu, penyanyi solo terbaik, lirik terbaik dan persembahan terbaik dalam kategori Dakwah dan Nasyid masing-masing dimenangi oleh SMSH, Temburong dan SMPAPHM.

Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada juara Kategori Nasyid dari Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong.
Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada juara Kategori Nasyid dari Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong.
Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada juara Kategori Dakwah dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit.
Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada juara Kategori Dakwah dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit.

Penyampaian hadiah-hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof.

Pengetua SMPAPHM selaku pengerusi majlis dalam ucapan alu-aluannya, berkata, tujuan pertandingan itu diadakan adalah untuk menarik perhatian dan memberi peluang kepada para pelajar untuk bergiat aktif menyertai dakwah melalui nyanyian dan lirik yang mengandungi nilai keislaman dan kemanusiaan serta memperluaskan lagi lagu-lagu Nasyid dan Dakwah sebagai warisan budaya dengan berkonsepkan Melayu Islam Beraja.

“Ia juga sebagai platform dalam memperkukuhkan interaksi di antara para pelajar dan guru serta meningkatkan syiar Dakwah Islam, pada waktu yang sama menonjolkan bakat antara pelajar dalam menghasilkan dan menulis lirik lagu serta melodi berunsurkan Dakwah dan Nasyid,” tambahnya.

Pertandingan ini telah dianjurkan oleh SMPAPHM dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Unit Rohani.

ARTIKEL YANG SAMA