Platini akan kemuka rayuan

Platini akan kemuka rayuan

PARIS, 19 Nov (AFP) – Presiden UEFA, Michel Platini akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung keputusan penggantungannya selama 90 hari oleh Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) sebelum ini, menurut peguamnya semalam.

Keputusan itu diambil selepas jawatankuasa rayuan FIFA pada Rabu menolak permohonan Presidennya, Sepp Blatter dan Platini untuk membatalkan penggantungan selama 90 hari, manakala polis Switzerland meneruskan siasatan jenayah.

Peguam berkata, hanya satu ‘kes berat sebelah’ dipertimbangkan dan dia kini akan merujuk kes ke CAS, yang disifatkannya ‘serius dan bebas’.

“FIFA membuat strategi sengaja dan tidak boleh diterima bagi melengah-lengahkan kempen Platini untuk merebut jawatan presiden (FIFA),” kata peguamnya dalam satu kenyataan.

Awal bulan lalu, FIFA mengambil keputusan menggantungkan khidmat Blatter, Setiausaha Agung Jerome Valcke dan Platini, yang juga Naib Presiden, selama 90 hari bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan ke atas ketiga-tiganya berhubung pelbagai dakwaan skandal dan salah guna kuasa khususnya ketika anugerah hos temasya Piala Dunia.

Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Etika FIFA. Dengan penggantungan sedemikian, bermakna, kedua-dua, Blatter dan Platini dijangka tidak dapat bersaing untuk jawatan presiden FIFA yang dijadualkan dilangsungkan semula pada Februari tahun depan.

ARTIKEL YANG SAMA