Platini: Blatter bohong

Platini: Blatter bohong

ZURICH, 26 Mei (AFP) – Presiden UEFA Michel Platini yang menyokong Putera Ali bin al Hussein untuk menggulingkan ketua bola sepak dunia itu semalam berkata, Presiden FIFA Sepp Blatter telah berbohong mengenai perancangannya untuk penggal baru.

Platini berkata demikian ketika eksekutif FIFA bertemu di Zurich. Beliau menambah, Blatter yang berusia 79 tahun itu takut dengan ‘kekosongan’ kehidupan jika tewas undi untuk jawatan presiden Jumaat ini dan badan dunia itu hilang kredibiliti jika dia kekal.

Blatter adalah calon pilihan yang kuat untuk memenangi penggal kelima dalam pilihan raya itu. Tetapi dia menghadapi cabaran yang belum pernah terjadi sebelumnya dan putera Jordan itu juga menyerang ‘dasar mementingkan diri’ dan ‘pembaziran’ kepimpinan persekutuan sukan yang paling penting di dunia itu.

Platini menceritakan bagaimana beliau telah menyokong Blatter dalam pilihan raya sebelum ini dan pada 2011 pegawai dari Switzerland itu berkata beliau akan berkhidmat untuk penggal yang terakhir.

“Dia bertemu muka dengan kita agar menyokong beliau untuk mandat terakhir kononnya. Saya mempunyai perasaan yang tidak menyenangkan setelah memberikan sokongan atas dasar pembohongan,” kata Platini kepada akhbar sukan Perancis, L’Equipe dalam satu temu bual.

Platini kata Blatter telah membuat keputusan yang baik dalam kerjaya 40 tahunnya cuma dia tidak dapat melepaskan kuasa. “Saya difahamkan dia takut dengan kekosongan yang bakal dirasai,” kata pemimpin UEFA itu.

“Anda perlu mampu menyerahkan pemerintahan kuasa pada masa yang betul dan tidak perlu mempertahankan kedudukan anda dengan apa cara sekalipun.”

Blatter berkata, dia memerlukan penggal kelima untuk menyelesaikan ‘misi’ dan menjelaskan perubahan fikiran dengan berkata ‘masa berubah’ dan dia berasa cukup cergas untuk penggal kelima.

“Dia bukan kekal kerana mempunyai tugas untuk diselesaikan atau kerana masih ada beberapa projek besar untuk dijalankan demi FIFA,” isytiharkan Platini.

“Tidak, dia hanya takut dengan masa depan selepas mentakdiskan hidupnya untuk FIFA sehingga samapi kepada satu tahap bahawa dia benar-benar mengenal pasti dirinya bersama FIFA.”

ARTIKEL YANG SAMA