Platini boikot sesi pendengaran FIFA

Platini boikot sesi pendengaran FIFA

PARIS, 17 Dis – Michel Platini memutuskan untuk tidak menghadiri sesi pendengaran Jawatankuasa Etika Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dijadualkan Jumaat ini di Zurich, kata peguamnya kepada AFP, hari ini. Kenyataan daripada wakil perundangan Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) yang sedang menjalani penggantungan itu berkata Platini memilih untuk memboikot pendengaran itu.

Dia melakukan tindakan terbabit selepas mengatakan “Keputusan terhadap kes itu sudah diumumkan kepada media oleh jurucakap badan induk itu…” sesuatu yang tidak mempedulikan segala hak-hak asas bermula dengan anggapan tidak bersalah.

Bekas pemain kebangsaan Perancis itu dan Presiden FIFA, Sepp Blatter ketika ini menjalani penggantungan selama 90 hari daripada sebarang aktiviti bola sepak selepas pendakwa raya Switzerland membuka kertas siasatan atas tuduhan rasuah membabitkan kedua-duanya.

Penggantungan secara sementara itu dijadualkan berakhir pada 5 Januari ini namun kedua-dua watak penting badan induk itu berdepan risiko penggantungan seumur hidup oleh tribunal terbabit dengan keputusannya dijangka diketahui pada Isnin ini. – Reuters

Platini memutuskan untuk tidak menghadiri sesi pendengaran JawatanKuasa Etika FIFA yang dijadualkan hari ini. - Reuters
Platini memutuskan untuk tidak menghadiri sesi pendengaran JawatanKuasa Etika FIFA yang dijadualkan hari ini. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA