Platini dapat sokongan besar

Platini dapat sokongan besar

ZURICH, 21 Julai – Empat daripada enam persekutuan bola sepak benua akan menyokong Michel Platini, ketua badan bola sepak Eropah UEFA, untuk memimpin badan sukan dunia FIFA sekiranya dia bertanding, kata satu sumber yang rapat dengan UEFA semalam.

Bagaimanapun, Platini, warga Perancis, yang dipilih semula untuk penggal ketiga sebagai presiden UEFA pada Mac, masih belum memutuskan sama ada akan bertanding untuk pemilihan untuk mengganti presiden bersara Sepp Blatter pada 26 Februari, beritahu jurucakap UEFA kepada wartawan.

Platini, bekas pemain antarabangsa Perancis yang dianggap sebagai salah seorang pemain paling berbakat dalam generasinya, berkali-kali diberi jaminan akan menerima sokongan pada mesyuarat dengan wakil persekutuan yang diadakan sehingga malam Ahad di sebuah hotel di Zurich, menurut sumber.

“Presiden UEFA berasa amat gembira dengan peranannya sekarang sebagai pemimpin badan bola sepak Eropah,” beritahu ketua perhubungan UEFA Pedro Pinto kepada wartawan.

Platini yang mendapat sokongan yang kuat sekiranya dia ikut bertanding bagi jawatan presiden FIFA. - Reuters
Platini yang mendapat sokongan yang kuat sekiranya dia ikut bertanding bagi jawatan presiden FIFA. – Reuters

“Beliau amat gembira dan terharu dengan kata-kata sokongan yang telah diterimanya di sini di Zurich sejak beberapa hari lalu.”

Pinto berkata Platini akan menimbang jawatannya pada masa depan dan akan mengumumkan hasratnya apabila dia sudah bersedia.

“Dia gembira ramai orang melihatnya sebagai seseorang yang boleh memimpin FIFA dalam tempoh baru, dengan imej baru, imej ketelusan dan pentadbiran yang baik.” Bagaimanapun, pihak persekutuan tidak dapat dihubungi untuk memberi komen mengenai sama ada mereka berjaya memujuk anggota mereka untuk mengundi Platini.

Setiap daripada 209 anggota persatuan FIFA mempunyai satu undi pada pemilihan presiden. Disebabkan pengundian adalah rahsia, persekutuan tidak mempunyai cara untuk menguatkuasakan undi yang disekat.

Pada pemilihan presiden FIFA pada Mei, beberapa anggota persatuan UEFA mengundi Blatter meskipun Platini telah menggesa mereka supaya mengundi pencabar Putera Ali bin Al Hussein.

Blatter dipilih untuk penggal kelima pada kongres pada Mei, tetapi mengumumkan pada 2 Jun bahawa dia akan meletak jawatan tatkala skandal rasuah membelenggu FIFA. Dia sendiri tidak dituduh melakukan sebarang kesalahan. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA