Platini harap dapat kembali

Platini harap dapat kembali

ZURICH, 16 Feb – Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) yang digantung, Michel Platini berharap namanya dapat dibersihkan sebelum Kejohanan Eropah (EURO) 2016 berlangsung Jun depan selepas menghadiri pendengaran untuk rayuan penggantungannya, semalam.

Platini digantung lapan bulan Disember lalu bersama Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter selepas didapati menerima pembayaran bernilai AS$2.03 juta sedekad lebih awal yang dibayar kepada Platini oleh FIFA dengan kelulusan daripada Blatter pada 2011.

“Ia berjalan dengan baik dan diuruskan oleh mereka yang sememangnya ikhlas,” kata Platini selepas pendengaran oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA.

“Saya gembira dengan cara ia dijalankan. Saya harap dapat kembali bekerja secepat mungkin dan kembali ke pejabat selepas keputusan diputuskan Jawatankuasa Rayuan dan seterusnya bersedia untuk EURO,” katanya selepas pendengaran yang berlangsung lapan jam di ibu pejabat FIFA.

“Ada lagi perkara penting yang perlu saya lakukan. Saya menunggu untuk kembali ke kejohanan di Perancis,” katanya merujuk kepada Kejohanan Eropah yang membabitkan aksi 24 pasukan itu.

Jawatankuasa Etika FIFA yang menggantung kedua-dua individu terbabit menyatakan pembayaran yang dibuat itu adalah ketika bekas presiden itu mahukan dia dilantik semula, kekurangan ketelusan selain konflik yang berkepentingan.

Namun, kedua-dua mereka menafikan tindakan mereka dan rayuan Blatter akan didengar Khamis ini tetapi mereka masih boleh membawa kes mereka kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) andai rayuan mereka gagal. – Reuters