Platini, Messi didakwa

Platini, Messi didakwa

PARIS, 4 April (AFP) – Presiden UEFA yang digantung, Michel Platini dan bintang Barcelona Lionel Messi berada dalam senarai nama yang didedahkan mempunyai kaitan dengan skandal kewangan di luar negara.

Akhbar The Panama mendakwa, sebuah firma undang-undang pemerhati FIFA mempunyai hubungan perniagaan dengan tiga individu dalam skandal rasuah bola sepak global.

Dokumen itu juga mendapati bagaimana sesetengah pemain menggunakan syarikat luar pesisir untuk memasukkan duit ke bank.

Penemuan itu adalah hasil daripada siasatan jangka panjang oleh Konsortium Antarabangsa Penyiasatan Wartawan (ICIJ), lapor beberapa akhbar termasuk dari Jerman, Suddeutsche Zeitun.

Rekod itu menunjukkan firma guaman dimiliki Juan Pedro Damiani, seorang yang mempunyai jawatan dalam Jawatankuasa Etika Bebas FIFA, mempunyai hubungan dengan syarikat luar pesisir dan dikaitkan dengan Eugenio Figueredo, bekas naib presiden FIFA, individu yang pernah didakwa di Amerika Syarikat kerana salahguna dan mengubah wang haram.

“Rekod itu tidak menunjukkan kelakuan salah laku oleh Damiani dan firma guamannya. Namun mereka menimbulkan persoalan terhadap Damiani dan FIFA,” tulis laporan yang dikeluarkan ICIJ itu.

Seorang jurucakap untuk panel etika memberitahu ICIJ yang Damiani pernah memberitahu mereka yang dia mempunyai hubungan perniagaan dengan Figueredo, Mac lalu.

Bagaimanapun, panel sudah pun melancarkan penyiasatan terhadap hubungan antara Damiani dan Figueredo.

Damiani menerusi jurucakapnya memberitahu ICIJ yang dirinya tidak berhak untuk membuat kenyataan manakala pegawai di Uruguay sedang melakukan siasatan yang berkaitan hubungannya dengan FIFA.

ARTIKEL YANG SAMA