Platini tampil buat rayuan

Platini tampil buat rayuan

PARIS, 12 Jan (AFP) – Presiden UEFA Michel Platini secara rasminya telah membuat rayuan kepada jawatankuasa rayuan FIFA terhadap penggantungan dirinya selama lapan tahun dari apa sahaja acara bola sepak, sumber-sumber mengesahkan hari ini.

Tribunal etika FIFA pada Sabtu lepas memberikan presiden FIFA Sepp Blatter dan timbalan presiden Platini sebab-sebab keputusan mereka untuk menggantung mereka selama lapan tahun bagi membuka jalan untuk kedua-duanya untuk membuat rayuan atas keputusan itu.

Peguam Platini Thibaud d’Ales berkata presiden UEFA telah menerima sebab-sebab atas keputusan penggantungan itu, dan mereka akan “menelitinya dan membuat rayuan pada Isnin”.

Pada Disember, tribunal etika telah menggantung Blatter dan Platini selama lapan tahun, mengatakan mereka telah menyalahgunakan jawatan mereka atas pembayaran AS$2 juta kepada Platini pada 2011 bagi kerja-kerja yang dilakukan di antara 1999 dan 2002.

Kedua-duanya telah berkata terdapat perjanjian lisan ke atas pembayaran itu dan berkeras ia sah di bawah undang-undang Switzerland dan peraturan-peraturan FIFA.

Platini mengambil keputusan untuk membuat rayuan berikutan penggantungan lapan tahun oleh tribunal etika FIFA. - Reuters
Platini mengambil keputusan untuk membuat rayuan berikutan penggantungan lapan tahun oleh tribunal etika FIFA. – Reuters

Bagaimanapun, ia ditolak oleh mahkamah etika FIFA dalam ketetapan mereka. Menurut mahkamah, pembayaran itu “tiada asas undang-undang dalam perjanjian tulisan yang ditandatangani di antara “Blatter dan Platini pada Ogos 1999.

Blatter yang menerajui FIFA sejak 1998, mengesahkan pada Ahad lepas bahawa dia juga berhasrat untuk membuat rayuan.

Jika lembaga rayuan FIFA mengekalkan keputusan itu, kedua-duanya boleh membuat rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Lausanne, tribunal tertinggi dalam dunia sukan.

Penggantungan itu telah memberikan tamparan hebat kepada Platini yang berharap untuk mengambil alih pimpinan FIFA pada pilihan raya 26 Februari depan.