Platini tanding jawatan presiden FIFA

Platini tanding jawatan presiden FIFA

ZURICH, 29 Julai (Reuters) – Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Michel Platini akan bertanding bagi jawatan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), umum badan induk bola sepak Eropah itu, hari ini.

Pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi sama ada bekas pemain bola sepak Perancis itu akan bertanding atau tidak bagi mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan Sepp Blatter.

Platini, 60, disebut-sebut sebagai calon pilihan untuk mengisi jawatan terbabit. Pemilihan itu dijadualkan berlangsung pada kongres yang berlangsung pada 26 Februari, tahun depan.

Blatter mengumumkan akan melepaskan jawatan selaku presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) beberapa hari selepas dipilih semula buat penggal kelima pada Jun lalu. Kes skandal rasuah terbesar yang membabitkan beberapa pegawai tertinggi FIFA dikatakan antara punca peletakan jawatannya.

Pengumuman Platini itu dijangka akan membuatkan beberapa nama yang berhasrat untuk merebut jawatan tersebut tampil mengesahkan rancangan mereka.

Michel Platini (tengah) tiba untuk menghadiri undian kelayakan Piala Dunia 2018 di Konstantin Palace, Saint Petersburg di Rusia 25 Julai lalu. – AFP
Michel Platini (tengah) tiba untuk menghadiri undian kelayakan Piala Dunia 2018 di Konstantin Palace, Saint Petersburg di Rusia 25 Julai lalu. – AFP

Bekas Naib Presiden FIFA dari Korea Selatan, Chung Mong-joon dijangka akan mengumumkan pencalonannya bulan depan manakala Putera Jordan, Ali Al Hussein yang tewas kepada Bletter pada sesi pemilihan Mei lepas juga bercadang untuk melakukan perkara yang sama.

Sesi pemilihan itu dijangka dijalankan pada ‘Kongres elektif’ FIFA di Zurich pada 26 Februari tahun depan.

Blatter yang memikul jawatan presiden FIFA sejak 1998 dipilih buat penggal kelima selaku bos badan induk itu pada Mei namun skandal rasuah yang membawa kepada penahanan beberapa pegawai kanan dan bekas pegawai FIFA membawa kepada keputusannya untuk melepaskan jawatan.

ARTIKEL YANG SAMA