PLBT raih pendedahan awal laluan SUKMA

PLBT raih pendedahan awal laluan SUKMA

KUALA TERENGGANU, 9 Nov (Bernama) – Selepas menghantar pelumba berlatih dua minggu di Sarawak, Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) akan mencari laluan mirip seperti yang akan digunakan di Sukan Malaysia (SUKMA) di Bumi Kenyalang tahun depan.

Ketua jurulatih PLBT Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata latihan intensif dua minggu di Sarawak itu berjaya meningkatkan prestasi pelumba Terengganu selain memberi pendedahan kepada bentuk muka bumi Sarawak yang unik dan bergunung-ganang.

“Oleh itu, kami akan mencari laluan di Terengganu yang hampir serupa dengan laluan SUKMA nanti untuk pelumba kami membiasakan diri.

“Kami membawa 21 pelumba termasuk lima wanita dalam usaha memberi pendedahan awal kepada laluan yang akan digunakan pada SUKMA khususnya untuk acara lebuh raya,” katanya kepada Bernama sekembalinya dari Sarawak hari ini.

Menurut Syed Mohd Hussaini, setelah melihat bentuk muka bumi Sarawak, ternyata laluan yang bakal digunakan sememangnya mencabar.

“Kami perlu mempersiapkan diri dengan latihan keras mulai sekarang bagi memastikan pelumba berada pada tahap tinggi supaya impian meraih lebih banyak pingat mampu direalisasikan,” katanya.

Syed Mohd Hussaini berkata Majlis Sukan Negeri Sarawak dan juga jurulatih berbasikal negeri itu, Dzulkifli Hasan banyak membantu pelumba Terengganu semasa berada di sana.

Menurutnya beberapa pasukan negeri juga telah datang ke Sarawak untuk melakukan tinjauan laluan yang bakal digunakan dalam temasya dari 21-10 Julai tahun hadapan.

ARTIKEL YANG SAMA