PLM terima kunjungan TPM S’pura

PLM terima kunjungan TPM S’pura

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) kampus Pusat Latihan Mekanik (PLM), hari ini, telah menerima kunjungan daripada rombongan Timbalan Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Teo Chee Hean yang diiringi oleh Menteri Kebudayaan, Kemasyarakatan dan Belia Singapura, Puan Yang Terutama Grace Fu sebagai salah satu program lawatan mereka ke negara ini.

Hadir bagi mengalu-alukan ketibaan rombongan tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Ismail, Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan, Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi, Pengerusi Lembaga Pengelola IBTE, Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan para pegawai kanan di Kementerian Pendidikan.

Sebelum memulakan lawatan, rombongan terlebih dahulu diberi penerangan oleh Pengarah Pendidikan Teknikal, Dr. Chin Wei Keh mengenai pendidikan teknik yang antara lain memberikan kemahiran kepada anak-anak tempatan terutama golongan muda agar dapat memperkembangkan bakat mereka serta menyumbang ke arah pembangunan negara.

Di samping itu, rombongan juga mendengarkan taklimat mengenai transformasi pendidikan teknik dan seterusnya mengenai program-program yang ditawarkan di pusat berkenaan.

TYT Teo Chee Hean ketika mengadakan lawatan ke bengkel di PLM.
TYT Teo Chee Hean ketika mengadakan lawatan ke bengkel di PLM.
TYT Teo Chee Hean beramah mesra bersama penuntut-penuntut PLM.
TYT Teo Chee Hean beramah mesra bersama penuntut-penuntut PLM.
Timbalan Perdana Menteri Republik Singapura bergambar ramai bersama penuntut-penuntut dari Pusat Latihan Mekanik.
Timbalan Perdana Menteri Republik Singapura bergambar ramai bersama penuntut-penuntut dari Pusat Latihan Mekanik.

Rombongan juga berkesempatan membuat kunjungan ke bengkel-bengkel dan melihat lebih dekat para pelajar membuat kerja-kerja praktikal menggunakan mesin dengan diiringi oleh Pengetua Kampus IBTE/Pemangku Pengetua Kampus IBTE-PLM, Dr. Sheikh Lukman bin Sheikh Abdul Hamid.

Lawatan juga diteruskan ke IS Industrie Brunei Sdn Bhd, Registered Training Organisation (RTO) yang pakar dalam bidang pengimpalan.

Lawatan ini adalah sebahagian daripada Program Pemimpin Muda (YLP) ke-3 antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura yang bermula pada 4 hingga 7 Oktober. YLP telah ditubuhkan pada 2013 yang bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua buah negara, terutamanya di antara generasi pemimpin muda.

ARTIKEL YANG SAMA