PM Abe cuba dekati Rusia

PM Abe cuba dekati Rusia

TOKYO, 4 Jan (AFP) – Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe cuba mengambil hati Presiden Rusia Vladimir Putin hari ini, dengan memberikan prospek bagi sidang mesyuarat ketika beliau membaharui gesaan bagi kemajuan berhubung perjanjian damai Perang Dunia II yang sukar dicapai.

Kedua-dua negara itu tidak pernah secara rasmi memeterai perjanjian damai lebih 70 tahun setelah berakhirnya konflik di tengah pertikaian wilayah berhubung empat kepulauan Jepun yang dirampas oleh tentera Soviet pada penghujung peperangan.

“Presiden Putin dan saya berkongsi pandangan bahawa adalah luar biasa bagi negara-negara kami untuk tidak mempunyai perjanjian damai 70 tahun sejak peperangan, Abe berkata pada sidang media pertama tahun ini.

“Isu itu berkaitan dengan Wilayah Utara tidak boleh diselesaikan tanpa pertukaran antara pemimpin-pemimpin,” tambahnya, dengan merujuk kepada gelaran Jepun bagi kepulauan itu.

“Saya akan meneruskan dialog saya dengan Presiden Putin apabila ada peluang,” tambahnya.

Shinzo Abe (kanan) bersama beberapa anggota kabinetnya (dua kanan-kiri), Menteri Kewangan Taro Aso, Menteri Dasar Fiskal dan Ekonomi, Akira Amari, dan Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga menghadiri permulaan sesi Diet biasa 150-hari di Tokyo pada 4 Januari. – AFP
Shinzo Abe (kanan) bersama beberapa anggota kabinetnya (dua kanan-kiri), Menteri Kewangan Taro Aso, Menteri Dasar Fiskal dan Ekonomi, Akira Amari, dan Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga menghadiri permulaan sesi Diet biasa 150-hari di Tokyo pada 4 Januari. – AFP

“Kami akan menerokai tempoh masa paling sesuai bagi lawatannya ke Jepun.” Putin menerima kritikan keras dari AS dan negara demokrasi lain berhubung rampasan Crimea oleh Rusia dan konflik di timur Ukraine, dengan penglibatan negara itu dalam sidang mesyuarat Kumpulan Lapan ditangguhkan.

Abe mengadakan mesyuarat para pemimpin Kumpulan Tujuh pada bulan Mei. Putin tidak dijangka akan menghadirinya dan Abe tidak mengatakan pun tentang perkara itu.

Tetapi beliau menekankan perlunya dialog, dengan mengatakan masyarakat antarabangsa mesti menggalakkan penyertaan Rusia dalam perjuangan dunia memerangi keganasan dan krisis Syria.

“Adalah juga penting kita mendapat penglibatan membina Rusia untuk menangani isu-isu keganasan, Syria dan Iran,” kata Abe lagi.

Rusia telah melancarkan serangan udara di Syria sejak akhir September ketika ia berusaha mengukuhkan rejim Presiden Syria Bashar al-Assad dan menghalang pejuang IS dan kumpulan pelampau lain dari melancarkan serangan ke atas bumi Rusia.