PM Australia dituduh bermain politik

PM Australia dituduh bermain politik

CANBERRA, 5 Okt – Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull hari ini dituduh bermain politik ketika satu kecemasan yang mengakibatkan bekalan elektrik terputus di kawasan meluas di Australia Selatan minggu lalu. Perdana Menteri Selatan Australia Jay Weatherill berkata perdana menteri menggunakan kecemasan itu, yang mengakibatkan 90 peratus kawasan di negara itu, termasuklah bandar ibu negaranya, Adelaide, bergelap selama hampir 24 jam, sebagai peluang untuk ‘memberi ceramah kepada penduduk Selatan Australia tentang bahaya tenaga boleh dibaharui’ daripada memberi sokongannya pada detik memerlukan.

“Kenyataan itu juga dibuat pada ketika para pegawai, pekerja perkhidmatan kecemasan, agensi-agensi bantuan berusaha untuk membantu orang ramai melindungi kehidupan dan anggota dan harta dan untuk membantu mereka yang menderita,” Weatherill memberitahu Perbadanan Penyiaran Australia (ABC). “Kami juga melihat pemimpin parti pembangkang Australia, Steven Marshall mengatakan tenaga yang boleh dibaharui adalah nadi sistem.”

Weatherill berkata tidak ada kaitan jelas antara terputusnya bekalan elektrik dan tenaga yang boleh dibaharui dan laporan Pengendali Pasaran Tenaga Australia (AEMO) mengesahkan kejadian cuaca yang teruk akan membawa risiko kepada infrastruktur elektrik tanpa mengira sama ada atau tidak tenaga boleh dibaharui terlibat.

Weatherill menambah laporan mengesahkan makluman awal yang diberikan kepadanya bahawa terputusnya bekalan elektrik berpunca dari cuaca teruk dan ‘bukan tenaga boleh dibaharui’. – Xinhua

ARTIKEL YANG SAMA