PM Australia sambut baik hubungan China

PM Australia sambut baik hubungan China

SHANGHAI, 14 April (Agensi) – Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull mengalu-alu hubungan perdagangan dengan China tetapi mengelak daripada membincang isu politik sensitif, pada hari pertama lawatan rasmi ke negara rakan perdagangan utama.

Dalam satu ucapan kepada pemimpin perniagaan di pusat kewangan Shanghai, Turnbull memuji perjanjian perdagangan bebas dua hala yang ditandatangani pada tahun lalu sebagai menawarkan peluang baru untuk pengeksport Australia.

China menyerap kira-kira satu pertiga daripada eksport Australia, tetapi permintaan China yang lembap untuk bijih besi, arang batu dan sumber lain telah memberi kesan besar ke atas ekonomi Australia.

Sementara ia memberikan kejutan besar kepada perniagaan Australia, negara itu kini “hampir mengatasi” krisis dan sedang mencari peluang baru dalam usaha China untuk merangsang penggunaan peribadi di kalangan rakyatnya, kata Turnbull.

“Dengan memikirkan matlamat berkenaan, kami merebut kesemua peluang luar biasa yang datang daripada peralihan ekonomi China ke arah ekonomi yang berorientasikan penggunaan,” kata Turnbull, menurut satu salinan ucapan yang diberikan oleh pejabatnya.

Li Keqiang (Kanan) bercakap dengan Malcolm Turnbull semasa majlis menandatangani perjanjian di Dewan Besar Rakyat di Beijing Kelmarin. – AFP
Li Keqiang (Kanan) bercakap dengan Malcolm Turnbull semasa majlis menandatangani perjanjian di Dewan Besar Rakyat di Beijing Kelmarin. – AFP

Perjanjian Perdagangan Bebas China-Australia dikenali sebagai ChAFTA, akhirnya akan menghapus tarif ke atas hampir kesemua produk Australia yang dijual kepada China. Turnbull memilih pengeksport daging lembu dan produk tenusu, ceri, udang krai dan wain sebagai benefisiari.

Pakatan itu juga akan mengurangkan syarat-syarat pekerjaan untuk pembekal perkhidmatan Australia, termasuk peguam, pendidik dan profesional kewangan, sementara menggalak pelaburan di Australia oleh firma China utama seperti Baosteel, Bright Foods dan pemaju harta Greenland Group, kata beliau.

China juga pasaran pelancongan paling penting Australia dengan lebih daripada 1 juta pelawat pada tahun lalu.

Australia akan membuka laluan kepada firmanya untuk menembusi pasaran China dengan penubuhan “landas pendaratan” di Shanghai yang akan memberikan ruang fizikal kepada usahawan Australia dan kemudahan menggunakan rangkaian dan kepakaran, kata Turnbull, yang sedang memimpin perwakilan pegawai kerajaan dan kira-kira 1,000 pemimpin perniagaan.