PM dijadual lancar projek Lebuh raya Pan Borneo pada 23 April

PM dijadual lancar projek Lebuh raya Pan Borneo pada 23 April

KOTA KINABALU, 5 April (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan merasmikan pelancaran projek Lebuh raya Pan Borneo peringkat negeri Sabah pada 23 April ini, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata projek sepanjang 706 kilometer bernilai kira-kira RM12.8 bilion berkenaan akan dilancarkan di Jalan Donggongon-Papar.

“Kita akan lancarkan projek ini di Jalan Donggongon-Papar. Jalan Donggongon-Papar adalah pakej pertama yang akan dibangunkan di bawah projek Lebuh raya Pan Borneo dan akan dirasmikan perdana menteri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sabah Road Day 2016 di sini, hari ini.

Musa berkata pada majlis pelancaran itu kelak, selain memperkenalkan peringkat-peringkat pelaksanaan projek lebuh raya berkenaan, kontraktor yang akan terlibat dalam pembinaan itu juga dijangka diperkenalkan.

“Kita bukan sahaja diberi peluang untuk mewujudkan lebuh raya ini tetapi kontraktor tempatan kita juga diberi peluang mengambil bahagian dalam membangunkan jalan raya ini. Ini adalah janji perdana menteri dan beliau akan tepati janji tersebut,” katanya.

Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah lalu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata Jalan Donggongon-Papar sepanjang 11.7 kilometer merupakan pakej awal yang akan dibina di bawah projek Lebuh raya Pan Borneo Sabah.

Menurutnya, dua lagi pakej awalan di bawah projek berkenaan ialah Jalan Tawau-Semporna dari Km45 ke Km49.7 dan Jalan Lahad Datu Bypass sejauh 7.1km.

Projek Lebuh raya Pan Borneo sepanjang 2,239km dari Sarawak ke Sabah bernilai RM27 bilion dijangka siap menjelang tahun 2025.