PM gesa reformasi EU fleksibel & imaginatif

PM gesa reformasi EU fleksibel & imaginatif

BERLIN, 29 Mei (AFP) – Perdana Menteri Britain David Cameron hari ini bersedia untuk melobi Canselor Jerman Angela Merkel bagi reformasi EU ‘fleksibel dan imaginatif’, tetapi berdepan pertarungan rumit terhadap rancangan Perancis-Jerman bagi zon euro yang lebih bersepadu.

Hari kedua lawatan Cameron ke Eropah dibuat ketika kerajaan beliau mengumumkan undang-undang yang membuka laluan bagi pengundian berkontroversi tentang sama ada Britain seharusnya meninggalkan EU yang mesti diadakan menjelang akhir 2017.

Perdana Menteri telah bertindak cepat kepada usaha permulaan untuk mendapatkan reformasi EU sebelum referendum yang beliau janjikan kepada para pengundi sebelum kemenangan mengejut beliau awal bulan ini.

“Status quo tidak cukup baik dan saya berpendapat ada perubahan yang boleh dibuat yang bukan saja memberi manfaat kepada Britain bahkan seluruh Eropah juga,” Cameron berkata sebelum makan malam bersama Presiden Perancis Francois Hollande di Paris.

“Keutamaan saya ialah untuk membaharui EU untuk menjadikannya lebih kompetitif dan untuk menangani kebimbangan rakyat Britain tentang keanggotaan kami.

“Kami mahu membantu zon euro berfungsi lebih baik lagi.”

Hollande berkata Perancis mahu Britain terus berada dalam EU, tetapi ‘itu terpulang kepada rakyat Britain untuk memilih masa depan mereka.”

“David Cameron akan mengemukakan cadangannya dan akan membincangkannya dan melihat bagaimana kita boleh melangkah ke hadapan,” tambahnya.

Perdana Menteri Britain berhasrat untuk berbincang dengan setiap pemimpin EU sebelum mesyuarat di Brussels bulan depan yang mana pada mesyuarat itu cadangan reformasi Britain akan dibincangkan dengan lebih terperinci.

Beliau telah menemui rakan sejawatan beliau dari Belanda, Mark Rutte bagi makan tengah hari di The Hague semalam dan hari ini akan juga menemui perdana menteri Poland, Ewa Kopacz.

Sebelum Cameron berlepas, seorang pegawai Britain berkata terdapat ‘27 masalah perlu diselesaikan’ untuk mendapatkan konsesi.

Cameron berkata awal minggu ini bahawa beliau yakin meraih kesepakatan, tetapi memberi amaran akan banyak ‘kebisingan, jatuh bangun di sepanjang laluan’.