PM gesa tingkat keselamatan

PM gesa tingkat keselamatan

BANGKOK, 12 Ogos – Perdana Menteri Thai Jen Prayut Chan-o-cha menggesa pihak berkuasa supaya mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan awam dan tumpuan pelancong susulan beberapa siri serangan bom yang dikatakan AFP sebanyak 11 pengeboman serta pembakaran khianat sejak malam tadi, termasuk di kawasan tumpuan pelancong di Phuket, Hua Hin dan Krabi.

Menurut jurucakap kerajaan Mejar Jeneral Sansern Kaewkamnerd, perdana menteri mengeluarkan arahan kecemasan kepada pihak berkuasa yang berkaitan bagi mengelak insiden itu daripada berulang.

“Masih terlalu awal untuk mengenal pasti suspek yang menjadi dalangnya, tetapi perdana menteri memberi jaminan untuk menghadapkan ke muka pengadilan pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan maut ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Arahan Prayut kepada pihak berkuasa itu dibuat susulan dua lagi insiden letupan bom pagi ini di Hua Hin, bandar peranginan pinggir pantai, mengakibatkan seorang maut manakala tiga orang cedera, kesemuanya rakyat Thai.

Sementara itu, satu lagi serangan bom maut berlaku di Surat Thani pada 8 pagi ini (waktu tempatan), mengakibatkan seorang terbunuh manakala seorang lagi cedera dalam kejadian di pejabat polis Marin setempat.

Enam orang cedera dalam satu kejadian letupan bom di sebuah pasar di Wilayah Trang, selatan Thailand kira-kira 3 petang (waktu tempatan) kelmarin. – Bernama
Enam orang cedera dalam satu kejadian letupan bom di sebuah pasar di Wilayah Trang, selatan Thailand kira-kira 3 petang (waktu tempatan) kelmarin. – Bernama

Sebutir lagi bom meledak berhampiran lokasi insiden pertama sejurus selepas itu namun tiada yang cedera.

Pasukan keselamatan turut melaporkan bahawa sebutir bom meletup di bandar peranginan Patong, Phuket, yang popular di kalangan pelancong Malaysia, pada 8:50 pagi ini (waktu tempatan) tetapi tiada mangsa yang terbunuh.

Pasukan pemusnah bom juga berjaya mematikan dua butir bom di Phuket petang semalam.

Selain insiden pengeboman, Thailand turut diserang beberapa perbuatan membakar dengan sengaja di satu lagi bandar yang popular di kalangan pelancong, Aonang, Krabi dan daerah Muang di wilayah Trang, sejak awal pagi.

Beberapa gedung perniagaan dan pasar di wilayah berkenaan dibakar dalam insiden awal pagi mengakibatkan kerugian berjuta-juta Baht, menurut pihak berkuasa tempatan.

Semalam, sebutir bom meletup di sebuah pasar yang sibuk di Trang, mengakibatkan seorang lelaki maut manakala lima orang cedera. – Bernama