PM India akan hadir di sidang kemuncak ASEAN-India

PM India akan hadir di sidang kemuncak ASEAN-India

NEW DELHI, 1 Jun (Bernama) – Perdana Menteri India, Narendra Modi akan menghadiri sidang kemuncak ASEAN-India ke-13 di Kuala Lumpur pada November ini, kata Menteri Hal Ehwal Luar Sushma Swaraj.

Beliau berkata negara anggota ASEAN sentiasa menjadi elemen utama dalam polisi luar India dan kehadiran Modi adalah penting dalam merapatkan lagi hubungan dengan negara rakan di rantau ini.

Sushma memberi reaksi pada sesi soal-jawab dengan wartawan tempatan dan asing di sini pada Ahad berkaitan kejayaan kerajaan Modi setahun lalu mengenai aspek hubungan luar.

Setiausaha Bersama dan Jurucakap kementerian berkenaan, Vikas Swarup kemudiannya memberitahu Bernama bahawa ia adalah terlalu awal untuk menyebut Modi akan mempunyai program atau acara lain semasa lawatannya ke Kuala Lumpur.

Sidang kemuncak ASEAN-India ke-12 diadakan di Nay Pyi Taw, Myanmar tahun lepas dan sidang kemuncak ke-13 pula akan dihoskan Malaysia selaku pengerusi ASEAN.

Kali terakhir lawatan rasmi perdana menteri India ke Malaysia ialah pada Oktober 2010 apabila Dr Manmohan Singh datang ke Malaysia.

Semasa sidang akhbar itu, Susma menjelaskan butiran mengenai pencapaian kerajaan Modi sejak setahun lalu dengan berkata ia membuat 162 hubungan diplomatik dengan 101 negara yang sesetengahnya menekankan negara Afrika. Beliau menjelaskan penglibatan India dengan negara jiran termasuk Pakistan.

Beliau turut menyentuh penglibatan India dengan negara seperti Amerika Syarikat, China dan Rusia dengan berkata ia menguntungkan dalam membawa masuk Pelaburan Langsung Asing (FDI).

ARTIKEL YANG SAMA