PM Kemboja gesa cegah Zika

PM Kemboja gesa cegah Zika

PHNOM PENH, 20 Sept – Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen hari ini menggesa rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap virus Zika memandangkan terdapatnya peningkatan dalam kes tersebut di negara jiran Thailand dan Singapura.

“Virus itu masih belum memasuki Kemboja, namun ia telah dilaporkan di negara jiran Thailand dan Singapura,” kata beliau dalam satu ucapan ketika majlis perasmian sebuah hospital swasta di sini.

“Dengan itu, saya mencadangkan supaya rakyat dan pegawai kesihatan memberi tumpuan untuk menghalang virus tersebut daripada merebak ke Kemboja.”

Hun Sen merayu kepada rakyat, terutamanya wanita mengandung, yang berkunjung ke negara yang mempunyai virus Zika supaya berhati-hati dan mencegah diri mereka daripada digigit nyamuk Aedes. Gesaan perdana menteri keluar selepas kira-kira 381 kes virus Zika telah dilaporkan baru-baru ini di Singapura dan lebih daripada 100 kes virus berkenaan telah pun ditemui di Thailand setakat tahun ini.

Dalam usaha untuk menghalang virus daripada merebak ke Kemboja, kerajaan telah memasang pengimbas termal di lapangan terbang antarabangsa dan tempat pemeriksaan sempadan darat utama. – Xinhua

ARTIKEL YANG SAMA