PM lancar Pan Borneo Ahad ini

PM lancar Pan Borneo Ahad ini

KOTA KINABALU, 21 April – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melancarkan Projek Lebuh raya Pan Borneo Sabah di Papar pada Ahad ini, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman hari ini.

Beliau berkata majlis pelancaran itu akan diadakan di Kampung Andus dan dijangka dihadiri lebih 20,000 orang termasuk para pemimpin negeri.

“Apabila siap sepenuhnya kelak, projek Lebuh raya Pan Borneo Sabah akan menyediakan infrastruktur lebih selamat, selesa dan efisien untuk rakyat, seterusnya memacu dan merangsang pembangunan ekonomi dan sosial di Sabah.

“Untuk itu, saya menjemput semua lapisan rakyat agar dapat beramai-ramai menyaksikan satu lagi pelancaran projek yang meningkatkan pembangunan infrastruktur di negeri ini untuk kesejahteraan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Lebuh raya sepanjang 706 kilometer itu akan mengubah landskap infrastruktur dan menghubung bandar-bandar utama di Sabah.

Datuk Seri Musa Aman (kanan) bersama tiga Timbalannya iaitu (dari kiri) Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah, Datuk Seri Yahya Hussin dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bersama menunjukkan buku TPPA yang akan dibentangkan di Parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. – Bernama
Datuk Seri Musa Aman (kanan) bersama tiga Timbalannya iaitu (dari kiri) Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah, Datuk Seri Yahya Hussin dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bersama menunjukkan buku TPPA yang akan dibentangkan di Parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. – Bernama

Mengenai persidangan DUN itu, Musa berpuas hati dengan kesungguhan semua wakil rakyat termasuk pembangkang mengambil bahagian dalam mesyuarat empat hari itu sejak Isnin lepas.

“Menjadi dasar dan pendirian kita sebagai kerajaan yang bertanggungjawab bahawa kita bersikap terbuka dan sentiasa menghargai, menerima dan menyambut baik apa juga saranan, pandangan dan cadangan membina dan terbaik untuk rakyat dan negeri termasuk dari pembangkang.

“Dalam persidangan inilah kita dapat berbincang dengan cara baik dan berusaha membantu dan mencari penyelesaian yang sewajarnya untuk kepentingan rakyat dan memastikan pembangunan negeri dapat terus berjalan dengan lancar,” katanya. – Bernama