PM Najib tidak disiasat AS

PM Najib tidak disiasat AS

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini menegaskan kenyataan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang dikeluarkan pada Rabu jelas menyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak disiasat oleh pihak berkuasa negara itu.

“Ia (siasatan) tiada kaitan dengan Najib. Apa yang disiasat adalah berkaitan ‘money laundering’ (pengubahan wang haram) ke atas tiga individu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Persatuan Komunikasi Pasifik dan Asia (Paca) di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata Peguam Negara Amerika Syarikat Loretta Lynch dengan jelas menyatakan bahawa mereka hanya menyiasat tiga individu yang dinamakan dalam kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman.

“Ia amat jelas, saya fikir peguam negara Amerika telah menyatakan dengan amat jelas dalam kenyataannya bahawa mereka tidak menyiasat orang lain tetapi tiga individu itu,” katanya.

Salleh turut menyangkal dakwaan mengenai konspirasi antarabangsa terhadap Malaysia susulan laporan tentang tindakan pihak berkuasa Amerika Syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – Bernama