PM Nepal ke China kukuhkan hubungan

PM Nepal ke China kukuhkan hubungan

KATHMANDU, 20 Mac (AFP) – Perdana Menteri Nepal, K.P. Sharma Oli hari ini berlepas ke China dalam usahanya untuk mengukuhkan hubungan ekoran berbulan-bulan hubungan dingin dengan jirannya India.

“Perdana menteri berlepas hari ini dalam lawatan rasmi pertamanya ke China untuk mengukuhkan hubungan dengan jiran kami,” kata penasihat media perdana menteri, Pramod Dahal memberitahu AFP.

Lawatan dibuat selepas sebulan perdana menteri melawat India, satu lawatan rasmi tradisional ke luar negara bagi perdana menteri Nepal untuk memperbaiki hubungan yang tegang akibat sekatan sempadan.

Pembantah dari masyarakat minoriti Madhesi di selatan Nepal menyekat satu penyeberangan utama di sempadan India selama berbulan-bulan dalam protes terhadap satu perlembagaan baru.

Nepal menuduh India, yang juga mempunyai kaitan rapat dengan Madhesi kerana mengenakan ‘sekatan tidak rasmi’ selepas pergerakan kargo perlahan di pos pemeriksaan sempadan lainnya di selatan.

Sekatan yang berakhir bulan lalu, mengakibatkan kekurangan teruk bekalan minyak dan bekalan penting lain serta memaksa negara Himalaya dikelilingi daratan itu untuk beralih kepada satu-satunya jiran, China.

Penasihat hal ehwal luar negara perdana menteri, Gopal Khanal mengatakan kedua-dua pihak mempertimbangkan satu perjanjian transit dan perdagangan yang akan membolehkan Nepal, yang satu-satunya akses ke laut adalah melalui Kolkata, India menggunakan pelabuhan China bagi perdagangan negara ketiga.

“Lawatan ini bertujuan mempelbagaikan hubungan Nepal dengan China dan mempersiapkan Nepal agar lebih bebas,” kata Khanal.

ARTIKEL YANG SAMA