PM Palestin umum tubuh mahkamah perlembagaan pertama

PM Palestin umum tubuh mahkamah perlembagaan pertama

RAMALLAH, 4 April (Bernama) – Presiden Mahmoud Abbas pada Ahad mengumumkan penubuhan mahkamah perlembagaan pertama di Palestin, lapor agensi berita China, Xinhua, yang memetik laporan agensi berita Palestin, WAFA.

Menurut laporan itu, mahkamah berkenaan dianggotai sembilan individu iaitu presidennya, Mohamed al-Haj Qassem, dan timbalan beliau Asa’ad Mubarak serta tujuh lagi termasuk dua dari Semenanjung Gaza.

Pembantu Presiden Abbas berkaitan isu perundangan, Hassan al-Ourri, memaklumkan agensi berita itu bahawa misi utama mahkamah berkenaan ialah melihat undang-undang perlembagaan, peraturan dan sistem perundangan lain.

Beliau berkata mahkamah itu juga akan bertanggungjawab membuat tafsiran dan penjelasan berkaitan teks undang-undang asas dan perundangan lain.

Mahkamah itu turut menyaksikan penglibatan profesor undang-undang, ahli akademik, pakar undang-undang perlembagaan dan bekas peguam.

Pihak Berkuasa Kebangsaan Palestin, yang dipengerusikan Abbas sejak Januari 2001, dibentuk selepas Israel dan Palestin memeterai perjanjian damai Oslo pada 1993.