PM Serbia dibaling batu

PM Serbia dibaling batu

SREBRENICA, 13 Julai (AFP) – Perdana Menteri Serbia, Aleksandar Vucic terpaksa mencari tempat perlindungan, selepas orang ramai yang berkumpul bagi memperingati ulang tahun ke-20 pembunuhan kejam Srebrenica bertindak membaling batu dan botol air ke arahnya.

Ketika kejadian berlaku Vucic meletakkan kuntuman bunga di atas monumen di mana kaum lelaki dan kanak-kanak Islam yang dibunuh disemadikan, sebelum orang ramai yang berkumpul melaungkan Allahuakbar dan seterusnya bertindak membaling batu.

Vucic kemudian lari menyelamatkan diri dibantu pengawal keselamatan melindunginya dengan payung selepas Perdana Menteri Serbia itu dihujani dengan lontaran batu dan botol air.

Seorang imam kemudian bertindak menenangkan orang ramai yang marah dan mengalihkan perhatian mereka semua kepada upacara pengebumian mangsa tragedi tersebut yang baru dikenal pasti identiti mereka.

Pengawal melindungi Perdana Menteri Serbia menggunakan payung pada hari tersebut. – Reuters
Pengawal melindungi Perdana Menteri Serbia menggunakan payung pada hari tersebut. – Reuters

Sebelum itu, dalam ucapannya Vucic mengutuk ‘jenayah besar’ yang berlaku di Srebrenica, di mana kira-kira 8,000 penduduk lelaki Islam dibunuh oleh pasukan keselamatan Bosnia Serbia pada Julai 1995.

Dalam perkembangan lain, Serbia menyifatkan tindakan orang ramai membaling batu dan botol air ke arah pemimpin negara itu sebagai ‘percubaan untuk membunuh’ dan menggesa penduduk Bosnia mengutuk tindakan itu.

“Serangan bukan sahaja ditujukan kepada Vucic, tetapi juga kepada seluruh penduduk Serbia serta polisi keamanan dan kerjasama serantau,” kata Menteri Luar Serbia, Ivica Dacic dalam satu kenyataan.