PMI pembuatan China tidak berubah

PMI pembuatan China tidak berubah

BEIJING, 1 Julai (Bernama) – Indeks Pengurus Pembelian (PMI) China bagi sektor pembuatan berada pada 50.2 pada Jun, tidak berubah daripada bulan sebelumnya, kata Biro Statistik Nasional (NBS).

Bacaan PMI di atas 50 mata menunjukkan pengembangan dalam sektor pembuatan manakala di bawah 50 menunjukkan penguncupannya.

Penganalisis kanan NBS, Zhao Qinghe, dalam satu kenyataan pada Rabu berkata subindeks pengeluaran berada pada 52.9 pada Jun, sama seperti bulan lepas, bagaimanapun, suku kedua lebih baik daripada suku pertama.

Subindeks tempahan dan eksport baharu susut kepada 50.1 dan 48.2 pada Jun masing-masing turun daripada 50.6 dan 48.9, daripada bulan sebelumnya, menunjukkan permintaan domestik dan antarabangsa masih perlahan.

Dalam satu kenyataan berasingan NBS berkata PMI bagi sektor bukan pembuatan meningkat kepada 53.8 pada Jun daripada 53.2 pada Mei.

Sementara itu, bacaan akhir PMI Pembuatan China yang dikeluarkan oleh HSBC menunjukkan aktiviti pembuatan meningkat kepada 49.4 pada Jun daripada 49.2 pada Mei.

“Bacaan akhir PMI Pembuatan China HSBC/Markit menunjukkan penurunan seterusnya dalam sektor pembuatan pada Jun.

“Ini disebabkan terutamanya kadar penurunan pekerjaan yang ketara dalam seluruh sektor sejak awal 2009, manakala pengeluaran juga turun sedikit dalam bulan ini,” kata Annabel Fiddes, pakar ekonomi Markit.