PMS FC raih kemenangan pertama

PMS FC raih kemenangan pertama

Oleh Hasrulraizan

 

TUTONG, 29 Feb – Setelah sekadar mencatat tiga seri dan satu kalah dalam empat perlawanan pertamanya, PMS FC akhirnya meraih kemenangan pertama apabila menewaskan 3PML dengan jaringan 2-1 kelmarin walaupun pada awalnya ketinggalan 0-1.

Aksi Kumpulan B Liga Persatuan Bolasepak Amatur Daerah Tutong (TDAFA) DST 2015 di Kompleks Sukan Tutong itu menyaksikan 3PML memperoleh gol awal pada minit ke-12 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Awang Saldi bin Sohardi.

Separuh masa kedua bermula dengan PMS FC masih ketinggalan 0-1 namun kedudukan menjadi terikat 1-1 hanya sebelas minit selepas rehat iaitu pada minit ke-56 dengan PMS FC memperoleh golnya daripada jaringan Tommy Tony.

Gol kemenangan PMS FC hadir pada minit ke-78 hasil ledakan jaringan Halim, sekali gus memberikan PMS FC tiga mata penuh untuknya kini mengumpul enam mata, memintas 3PML yang kekal dengan lima mata.

PMS FC mencatat kemenangan pertamanya apabila menewaskan 3PML 2-1 dalam saingan Kumpulan B Liga TDAFA DST 2015.
PMS FC mencatat kemenangan pertamanya apabila menewaskan 3PML 2-1 dalam saingan Kumpulan B Liga TDAFA DST 2015.

Walau bagaimanapun Tutong Hotspurs FT yang masih memiliki baki satu perlawanan kekal menghuni persada Kumpulan B dengan kutipan 15 mata maksimum daripada lima perlawanan, disusuli Kebia FC yang baru saja menang 2-0 ke atas Kamai Kiudang FC minggu lalu untuk mengumpul 10 mata hasil daripada tiga menang, satu seri dan satu kalah.

PMS FC dengan enam mata daripada satu menang, tiga seri dan satu kalah kini menduduki tempat ketiga, diikuti 3PML FC dan Azmainshah FC yang masing-masing mengumpul lima mata tetapi 3PML daripada lima permainan manakala Azmainshah FC dari empat perlawanan.

Tangga keenam Kumpulan B pula dihuni oleh MPK Bedanu FC yang memiliki dua mata daripada empat perlawanan, sementara Kamai Kiudang FC di tangga terbawah tanpa sebarang mata daripada empat perlawanannya setakat ini.

ARTIKEL YANG SAMA