PMS Semarak Seni Labuan tonjol kesenian pelbagai kaum

PMS Semarak Seni Labuan tonjol kesenian pelbagai kaum

LABUAN, 6 Okt – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah (JKKN Sabah) dan Persatuan Anak Seni Wilayah Persekutuan Labuan (ASWILA) akan menganjurkan Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS), Semarak Seni Labuan.

Program dengan kerjasama Persatuan Gasing Labuan dan Jabatan Belia dan Sukan Labuan pada 8 dan 9 Oktober di Kompleks Sukan Labuan itu berkonsepkan manifestasi seni pelbagai kaum dan permainan tradisional dengan objektif mengetengahkan dan mempopularkan kesenian masyarakat Labuan dan permainan tradisional khususnya gasing.

Program bagi membantu mempromosi Labuan sebagai destinasi tarikan pelancong selain memupuk penghayatan dan apresiasi masyarakat terutamanya golongan belia terhadap seni dan budaya.

Sempena program dua hari itu, Pertandingan Gasing Regu Terbuka akan diadakan dalam usaha memastikan permainan gasing ini tidak hilang ditelan zaman seterusnya memupuk, mencari dan mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketengahkan dalam pertandingan gasing. – Bernama