PMUBD bimbing ahli MPP sekolah

PMUBD bimbing ahli MPP sekolah

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jun – Sejak pertukaran nama daripada Pengawas kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pada tahun 2013, Sekolah Menengah Sayidina Hussain (SMSHU), hari ini, mengadakan Kursus Kepemimpinan MPP yang pertama.

Kursus yang dijayakan bersama 26 perwakilan Persatuan Mahasiswa/Mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (PMUBD) itu diketuai oleh Presiden PMUBD, Awang Mohd Qusyairi bin Mohd Zaki selaku pengendali aktiviti sepanjang kursus dua hari berkenaan, yang bermula semalam (3 Jun).

Ketika ditemui di perkarangan SMSHU di Jalan Jerudong, Pengurus Kepimpinan Pelajar SMSHU, Dayang Sharida binti Jaafar memberitahu PMUBD berperanan untuk memberikan bimbingan kepada pelajar sekolah ini dalam pengurusan dan pentadbiran kelab serta aktiviti yang dijalankan oleh MPP sekolah.

“Mewakili seluruh warga sekolah, kami sangat berbesar hati dengan sumbangan waktu dan tenaga PMUBD dalam menjayakan kursus kepemimpinan kami yang pertama tahun ini dan pada saya ia menunjukkan kejayaan yang sangat signifikan,” ujarnya kepada Media Permata.

Antara aktiviti yang dilakukan oleh pelajar semasa kursus tersebut.
Antara aktiviti yang dilakukan oleh pelajar semasa kursus tersebut.
Antara para pelajar yang mengikuti kursus kepemimpinan MPP pertama sekolah itu yang dijayakan bersama 26 perwakilan daripada Persatuan Mahasiswa/Mahasiswi UBD.
Antara para pelajar yang mengikuti kursus kepemimpinan MPP pertama sekolah itu yang dijayakan bersama 26 perwakilan daripada Persatuan Mahasiswa/Mahasiswi UBD.

Mengulas mengenai kursus itu, Naib Presiden PMUBD, Awang Rayyand bin Roslan berkata para peserta kursus terdiri daripada anggota MPP dan juga ahli Pembimbing Rakan Sebaya.

Projek in merupakan yang pertama kali dikendalikan oleh PMUBD di luar kampus dan menjadi pengalaman yang berguna buat mereka untuk lebih interaktif bersama masyarakat setelah kejayaan banyak aktiviti di dalam kampus.

“Kami berharap peserta akan mendapat pengalaman dan kenangan yang indah dan menjadikan setiap input di dalam kursus ini sebagai panduan yang berguna selain menjadi ilmu tambahan buat mereka dalam menjalani laluan pengajian di masa hadapan,” ujar Awang Rayyand.

ARTIKEL YANG SAMA