Pochettino kecewa Spurs terlepas peluang

SUNDERLAND, 1 Feb – Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino telah mengakui bahawa dia begitu kecewa selepas pasukannya tercicir dua mata dalam usaha mereka mengurangkan kelebihan pendahulu Liga Perdana, Chelsea apabila seri 0-0 dengan pasukan bergelut, Sunderland awal pagi tadi.

Namun, Spurs memintas pesaing London, Arsenal kerana perbezaan gol, sembilan mata di belakang Chelsea, yang diikat seri 1-1 oleh Liverpool.

Pasukan Pochettino masih belum tewas dalam persaingan liga sejak pertengahan Disember, lapan perlawanan yang menyaksikan mereka memperoleh 20 daripada kemungkinan 24 mata bagi mengekalkan harapan mereka untuk sekurang-kurangnya berada di kelompok empat pasukan teratas pada bulan Mei.

Warga Argentina itu mengakui bahawa perlawanan menentang Sunderland itu mungkin digambarkan sebagai terlepas peluang keemasan.

“Saya kecewa, bukan hampa,” katanya.

Penjaga gol Sunderland, Vito Mannone (tengah) menepis bola sambil disaksikan oleh penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung-Min dalam aksi Liga Perdana di Stadium of Light. – AP
Penjaga gol Sunderland, Vito Mannone (tengah) menepis bola sambil disaksikan oleh penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung-Min dalam aksi Liga Perdana di Stadium of Light. – AP

“Kami melalui satu momentum yang baik pada masa ini, dan ia adalah peluang untuk mengurangkan jurang mata dengan Chelsea, apabila anda tercicir dua mata seperti malam ini jadi memang sukar untuk tidak merasa kecewa mengenainya.”

Danny Rose berdepan dengan satu imbasan pada kecederaan lututnya yang telah memaksa pertahanan England itu dikeluarkan sebelum separuh masa pertama tamat.

Pemain tengah Sunderland, Jack Rodwell bernasib baik kerana hanya terlepas dengan menerima kad kuning selepas cabaran bahayanya ke atas pemain tengah Spurs, Mousa Dembele.

Spurs akan kembali beraksi pada hujung minggu ini apabila mereka menerima kunjungan Middlesbrough pada 5 Februari.

“Danny akan dinilai terlebih dahulu,” kata Pochettino.

“Dia terpusing lututnya dan kami akan tahu lebih banyak mengenainya esok. Saya tidak tahu jika ia sepatutnya merah bagi Rodwell, ia sukar untuk pengadil membuat keputusan dengan cepat, dan kami perlu menyokong keputusannya.

“Saya fikir kami bermain dengan teruk di separuh masa pertama dan meskipun kami bermain dengan lebih baik di separuh masa kedua, ia tidak cukup untuk memenangi perlawanan.

“Kami tidak cukup agresif, itulah masalahnya dan kami tidak menyukainya.

“Kami perlu belajar dan memperbaikinya.” – AFP