Pochettino kecewa

Pochettino kecewa

LIVERPOOL, 3 April (AFP) – Mauricio Pochettino merasa kecewa melihat pasukan kendaliannya Tottenham Hotspur melepaskan dua mata dalam perlawanan yang berkesudahan seri 1-1 di Liverpool tetapi menegaskan mereka perlu percaya mereka boleh memintas pendahulu Liga Perdana, Leicester.

Dengan Leicester hanya akan turun beraksi malam ini, Spurs, tangga kedua berusaha untuk menjadi juara England buat kali pertama sejak 1961, boleh mengurangkan defisit di tangga teratas kepada dua mata seandainya mereka menang di Anfield semalam.

Bagaimanapun, Philippe Coutinho meletakkan Liverpool di depan sebelum Harry Kane menjaringkan gol ke-22 dalam saingan liga musim ini bagi menyamakan kedudukan sekali gus meraih satu mata buat Spurs.

“Saya tahu mereka akan berdepan perlawanan sukar esok (malam ini),” kata Pochettino sebelum Leicester menentang Southampton – kelab yang dikendalikannya sebelum berpindah ke White Hart Lane.

“Mereka di depan kami enam perlawanan dan empat (antara Spurs dengan Leicester) kini kami perlu percaya”.

Pochettino kecewa menyaksikan pasukannya melepaskan peluang untuk memintas pendahulu Liga Perdana, Leicester setelah terlepas dua mata dalam perlawanan yang berkesudahan seri 1-1 di Liverpool. – Reuters
Pochettino kecewa menyaksikan pasukannya melepaskan peluang untuk memintas pendahulu Liga Perdana, Leicester setelah terlepas dua mata dalam perlawanan yang berkesudahan seri 1-1 di Liverpool. – Reuters

“Dalam bola sepak semua boleh berlaku. Ia sangat sukar beraksi di sini dan cuba untuk meraih tiga mata tetapi kami tenang dan percaya dengan kemampuan kami”.

“Kami kecewa tetapi kami perlu percaya. Secara jujurnya, saya harap Southampton boleh mengatasi Leicester dan jurang mata kekal kepada empat mata seperti sekarang”.

Minggu ini adalah yang terakhir dalam musim ini menyaksikan Leicester beraksi selepas Spurs.

Empat minggu selepas ini, Leicester akan beraksi sebelum pencabar utama mereka itu dan semua perlawanan akan berlangsung serentak pada minggu terakhir.

“Kamu tidak akan tahu,” kata Pochettino ketika ditanya jika bermain sebelum Spurs akan memberikan kelebihan kepada Leicester.

“Kami tidak boleh ramal apa yang akan berlaku pada masa depan tetapi apa yang paling penting adalah fokus terhadap perlawanan kamu”.

Penyerang antarabangsa England, Kane kini mencipta rekod baharu kelab berkenaan dalam saingan liga biarpun penyerang prolifik itu lebih mengutamakan keputusan perlawanan yang memberi kesan terhadap cabaran mereka memburu gelaran juara.

“Sudah pasti ia pencapaian yang menakjubkan dan saya bangga dengan perkara itu. Sebagai penyerang kamu mahu menjaringkan gol tetapi lebih penting jika kamu mendapat tiga mata,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA