Pochettino mahu ‘bunuh’ pemain

Pochettino mahu ‘bunuh’ pemain

LONDON, 12 Ogos – Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino begitu berang terhadap kemerosotan pasukannya dalam saingan Liga Perdana musim lalu sehingga dikatakan mahu ‘membunuh’ pemainnya.

Spurs berpeluang mengatasi juara, Leicester City sebelum pasukan lawan itu mencatat empat kemenangan berturut-turut pada penghujung musim, sekali gus mengakhiri harapan mereka menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris pertama sejak tahun 1961.

Tottenham tewas 1-5 di Newcastle pada hari terakhir menyaksikan mereka terlepas peluang menghabiskan saingan di atas Arsenal buat kali pertama dalam tempoh dua dekad.

Pochettino tidak berpeluang menegur pemainnya pada Mei lalu kerana skuadnya segera menyertai Euro 2016 dan pengurus Argentina itu terpaksa menunggu sehinggalah semua pemain kembali pada jelajah pra musim di Australia untuk meluahkan kekecewaannya.

Pochettino berang dengan kemerosotan pasukannya dalam saingan Liga Perdana musim lalu. – AFP
Pochettino berang dengan kemerosotan pasukannya dalam saingan Liga Perdana musim lalu. – AFP

“Saya baru memberitahu mereka, ‘Jika saya berpeluang untuk membunuh anda semua, saya akan bunuh semua’,” kata Pochettino.

“Saya mahu bunuh mereka semua. Dan saya tidak mempunyai peluang membunuh mereka semua. Saya akan membunuh diri sendiri juga.

“Apa kesalahan yang mereka lakukan? Banyak perkara. Bola sepak adalah mengenai taktikal, fizikal, teknikal tetapi juga mental. Lebih banyak mental berbanding tahun terdahulu.

“Kami perlu tahu bagaimana untuk membaiki tahap mental kami. Ini adalah sangat, sangat penting.

“Saya rasa ia adalah kunci terhadap beberapa perlawanan di musim lalu,” katanya. – AFP