Pochettino tetap berpuas hati

Pochettino tetap berpuas hati

WEST BROMWICH, 16 Okt – Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino menegaskan dia berpuas hati dengan karektor dipamerkan barisan pemainnya sekali gus memadamkan kekecewaan terikat 1-1 di West Bromwich Albion, semalam.

Kemenangan boleh memastikan Spurs meraih kemenangan keenam liga, tetapi Pochettino tetap berpuas hati untuk mengekalkan rekod sebagai satu-satunya pasukan yang belum tewas dalam Liga Perdana Inggeris.

Skuad pelawat itu berhak seri selepas penjaga gol West Brom, Ben Foster menampilkan persembahan luar biasa di The Hawthorns sehingga menyaksikan dia dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan. Nacer Chadli – yang dijual Spurs kepada West Brom dengan nilai $16 juta pada Ogos lalu – meletakkan tuan rumah di depan ketika permainan berbaki lapan minit.

Walaupun tersentak dengan jaringan itu, Spurs segera bangkit untuk menyamakan kedudukan hasil sentuhan hebat penyudah tonggak tengah Dele Alli pada minit ke-89.

“Kami sepatutnya harus lebih tajam tetapi kami menunjukkan karektor selepas mereka menjaringkan gol lewat,” kata Pochettino.

“Saya gembira dengan persembahan pemain. Saya berasa bangga. Penjaga gol mereka dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan seperti yang anda lihat.”

Keputusan itu menyaksikan pasukan utara London itu dipisahkan satu mata di belakang Manchester City selepas peneraju EPL itu turut terikat 1-1 dengan Everton.

Gol Alli hadir selepas tonggak antarabangsa England itu melepaskan peluang keemasan di babak pertama dan Pochettino berkata: “Saya gembira untuk Dele Alli tetapi dia perlu meningkatkan permainan lagi. Dia mempunyai peluang di babak pertama yang sepatutnya berakhir dengan gol.”

Pengurus West Brom, Tony Pulis pula menghamburkan pujian kepada Foster yang menjadi sebahagian daripada ahli pasukan England pada Piala Dunia 2014 tetapi karier antarabangsanya terjejas akibat daripada kecederaan lutut.

“Jika anda menonton seluruh perlawanan kami harus berterima kasih kepada Ben,” kata Pulis. “Ia mengenai masa untuknya melakukan beberapa usaha menyelamat sebegitu, dia tidak berkesempatan pada musim ini.” – AFP