Podolski sah milik Galatasaray

Podolski sah milik Galatasaray

LONDON, 6 Julai (Agensi) – Penyerang antarabangsa Jerman Lukas Podolski menyertai Galatasaray daripada Arsenal dengan perjanjian selama tiga tahun dengan yuran perpindahan sebanyak 1.8 juta pound.

Juara liga Turki itu akan membayar nilai lebihan pemain tersebut secara bersyarat bergantung kepada kelayakan mereka untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara.

Podolski yang kini berusia 30 tahun berpindah ke Arsenal daripada kelab Jerman, Koln FC pada tahun 2012 dengan yuran perpindahan sebanyak 11 juta pound dan telah menjaringkan 31 gol dalam 82 penampilan untuk The Gunners.

Podolski juga telah membantu Arsenal untuk memenangi Piala FA pada tahun 2013 tetapi telah menghabiskan separuh daripada musim lalu di Inter Milan menerusi pinjaman.

Peluangnya untuk berada dalam kesebelasan utama di Arsenal nampak tipis apabila pengurusnya, Arsene Wenger lebih gemar menurunkan Mesut Ozil, Alexis Sanchez dan Danny Welbeck di jentera serangan.

Selain itu, Wenger turut mempunyai Theo Walcott, Olivier Giroud dan Alex Oxlade-Chamberlain selaku pemain simpanan.

Menurut Presiden Galatasaray, Dursun Aydin Ozbek, Podolski yang berjaya membantu Jerman untuk memenangi Piala Dunia pada tahun 2014 lalu telah menjadi sasaran utama untuk mendapatkan khidmatnya bagi jangka masa panjang.

“Podolski merupakan pemain yang telah kami ikuti untuk jangka masa yang lama. Kami telah memenuhi permintaan daripada pasukan kami. Kami fikir, dia (Podolski) akan berkhidmat bersama pasukan ini untuk tempoh yang lama,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA