Podolski tidak mahu digelar maskot

Podolski tidak mahu digelar maskot

ASCONA, Switzerland, 2 Jun – Pemain veteran Jerman, Lukas Podolski berang selepas digelar ‘maskot’ dalam pasukan dia Mannschaft oleh segelintir penyokong berikutan kekurangan aksi bersama skuad juara dunia itu.

Podolski yang memasuki usia 31 tahun pada Sabtu ini memiliki 127 penampilan bersama skuad kebangsaan Jerman, meledak 48 gol dalam tempoh lebih sedekad.

Kejohanan di Paris akan menjadi penampilan keempatnya di Euro selain tiga penampilan di pentas Piala Dunia.

Di sebalik rekod penampilan yang menakjubkan, bekas penyerang Arsenal itu dianggap pemain simpanan dan hanya beraksi dalam dua perlawanan peringkat kumpulan ketika Piala Dunia 2014 di bawah bimbingan Joachim Loew.

Kekurangan aksi bersama Jerman ketika ini menjadikannya digelar ‘maskot’ oleh peminat pasukan itu di media sosial, sesuatu yang pantas mencetus amarahnya.

“Saya fikir ia sesuatu yang jelas tidak mempunyai rasa hormat! Saya sudah bermain lebih 100 penampilan antarabangsa dan saya tidak layak (untuk digelar) seperti itu,” katanya ketika ditemui di kem latihan skuad itu di sini.

“Saya boleh memahami sebarang perbincangan mengenai saya sebagai seorang manusia, namun bukannya ‘maskot’.

“Adalah sesuatu yang sukar untuk dipercayai menggelar saya seperti itu.”

Selepas menghabiskan masa berhijrah dari Bayern Munich, Cologne, Arsenal dan Inter Milan dalam tempoh beberapa tahun, Podolski menyertai kem Jerman selepas menjaringkan gol kemenangan buat Galatasaray ketika menjulang Piala Turki, minggu lalu.

Musim lalu, dia meledakkan 17 gol bersama gergasi Turki itu selain sembilan gerakan menghasilkan gol. – AFP